Thursday, June 27, 2013

Today's Pick (26/06/13/1012/1037) Kerjasama Dubai bangun hab produk halal di Asia Barat

Kerjasama Dubai bangun hab produk halal di Asia Barat


Malaysia akan bekerjasama dengan kerajaan Dubai untuk membangunkan hab produk halal dan perkhidmatan kewangan Islam di rantau Asia Barat.

Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, kerjasama itu perlu kerana ia mampu mengatasi kekangan kos dan logistik Malaysia membabitkan aspek pemasaran dan penghantaran produk halal selain memudahkan penyediaan perkhidmatan kewangan Islam bagi industri halal dalam kalangan negara di rantau itu.

Sedia khidmat kewangan

“Kerjasama ini adalah bersifat menang-menang kerana ia membolehkan industri halal global berkembang lebih pantas. Jika peranan hab halal ini terhad kepada Malaysia, pelbagai kekangan yang perlu diatasi dan kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian.

“Dalam kerjasama ini, Malaysia akan menyediakan kepakaran dan model kepada Dubai membabitkan aspek persijilan produk halal selain berkongsi kepakaran dalam menyediakan perkhidmatan kewangan Islam bagi peserta industri halal di rantau itu.

“Malaysia akan bertindak sebagai hab halal bagi rantau Asia, yang mana kita berperanan menjadi pusat penyumberan produk halal dari Asia selain memberikan perkhidmatan kewangan Islam yang berkaitan.

“Justeru, kami melihat kerjasama ini memanfaatkan semua pihak dan membantu meningkatkan pertumbuhan rantaian bekalan produk halal di seluruh dunia. Cara ini juga membolehkan penerokaan pasaran baru produk halal global dengan lebih pantas,” katanya pada sidang media selepas sesi padanan perniagaan Program Pembangunan Vendor Halal (HVDC) di Kuala Lumpur, semalam.

Rantaian bekalan

Antara pasaran yang masih tidak mempunyai rantaian bekalan membabitkan eksport produk halal adalah Eropah, Russia, India, Bangladesh serta Pakistan, yang rata-rata negara ini mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang meluas.

Source : Berita Harian
Date : 25 June 2013
Today's Pick (26/06/13/1012/1037)



No comments: