Thursday, June 27, 2013

Today's Pick (25/06/13/1011/1036)Tubuh jawatankuasa khas pantau usahawan muda

Tubuh jawatankuasa khas pantau usahawan muda


Shahiruddin (dua kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM300,000 kepada Sallehhoddin pada Majlis Penyerahan Bantuan Modal Mula Program Inkubator GiatMara Pahang 2013, di Kuantan.

KUANTAN - Kerajaan negeri mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memantau kumpulan usahawan muda melalui Kursus Pembudayaan Keusahawanan Teknikal (Putek) di bawah GiatMara.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, jawatankuasa khas itu bagi memantau perkembangan usahawan muda terlibat untuk melihat prestasi perniagaan yang diusahakan.

“Melalui jawatankuasa khas itu, sebarang masalah dan bantuan tambahan akan dikenal pasti supaya mereka terus mendapat bimbingan sewajarnya.

“Kita mahu melihat mereka berjaya dan berdikari, dalam masa sama, kita pantau perkembangan mereka,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Bantuan Modal Mula Program Inkubator GiatMara Pahang 2013, di sini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Pahang, Salemi Yusof dan Pengarah GiatMara Pahang, Sallehhoddin Abu Bakar.

Shahiruddin berkata, GiatMara Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk program itu membabitkan 235 peserta dalam tempoh dua tahun sehingga kini.

Beliau berkata, setiap pelatih menerima bantuan sebanyak RM5,000, iaitu RM1,000 sebagai modal mula perniagaan, manakala RM4,000 untuk bantuan peralatan.

“Bantuan modal ini sedikit sebanyak membantu usahawan muda memulakan perniagaan dengan ilmu dari kursus yang diikuti.

“Dalam masa sama menggalakkan golongan muda untuk berniaga dalam bidang seperti bengkel, kedai kek, jahitan dan kedai elektrik,” katanya.

Pada program itu, seramai 60 peserta menerima bantuan modal mula selepas mengikuti kursus selama tujuh hari.

Source : Sinar Harian
Date : 24 June 2013
Today's Pick (25/06/13/1011/1036)

No comments: