Monday, June 17, 2013

Afternoon Highlight (12/06/13/100/798) Sasar 100 usahawan dilatih syarikat Korea

Sasar 100 usahawan dilatih syarikat Korea


KUALA LUMPUR 10 Jun - Pusat pembangunan sumber manusia, Might-Meteor Advanced Manufacturing Sdn. Bhd. (Might-Meteor) menyasarkan 100 pemimpin perniagaan tempatan akan dilatih oleh perunding latihan dari Korea sehingga hujung tahun ini.

Latihan dan bimbingan itu bagi meningkatkan produktiviti PKS tempatan dalam bidang-bidang teknikal dan kejuruteraan.

Pengarah Urusannya, Jasmin Baba berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat perunding latihan, InCoaching Co. Ltd. (InCoaching) bagi menjalankan program latihan dan bimbingan yang dinamakan Coaching For You@SME.

Katanya, kumpulan ahli perniagaan tempatan pertama yang akan dilatih adalah seramai 20 orang dalam kursus selama dua hari setengah di sini.

"Ini merupakan kerjasama pertama kali di antara Might-Meteor dengan InCoaching yang berpengalaman dalam mengendalikan latihan dan bimbingan perniagaan kepada ribuan syarikat di Korea dan di beberapa buah negara yang lain,’" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran kursus latihan dan bimbingan InCoaching Malaysia di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim, Ketua Might International, Dr. Raslan Ahmad serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif InCoaching, Grace Eu Sook Hong.

Might-Meteor merupakan sebuah anak syarikat Kumpulan Kerajaan Industri Untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Tambah Jasmin, pihaknya menyasarkan impak yang akan diperoleh daripada kursus latihan tersebut menerusi kelahiran tenaga kerja yang mempunyai ciri-ciri global.

Katanya, pihaknya mahu lebih banyak pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negara ini memiliki ciri-ciri penting untuk membangunkan syarikat.

"Dalam kursus latihan yang dikendalikan InCoaching ini, kami mahu menyuntik pematuhan syariah dalam pengurusan sebagai satu nilai tambah," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafsah menambah, kursus yang dijalankan dapat mengukur prestasi PKS tempatan.

Katanya, pihaknya juga berharap kursus tersebut dapat memupuk budaya melatih di kalangan PKS tempatan.

"Kita menyasarkan penambahan 10 peratus PKS tempatan memperoleh sijil inovasi InnoCert setiap tahun," ujarnya.

Source : Utusan Melayu
Date : 10 June 2013
Afternoon Highlight (12/06/13/100/798)


No comments: