Friday, June 14, 2013

Today's Pick (17/05/13/85/1010)MATRADE ANJUR PAMERAN MALAYSIA DI CHENNAI

MATRADE ANJUR PAMERAN MALAYSIA DI CHENNAI


Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menganjurkan Pameran Malaysia di Chennai, India bermula pada 20 hingga 22 Jun ini bagi memberi ruang kepada syarikat Malaysia meluaskan pasaran ke negara tersebut.

Sebanyak 40 syarikat sudah mendaftar bagi mempamerkan produk daripada pelbagai sektor termasuk perabot, automatif, komponen dan alat ganti, kosmetik dan kesejahteraan, infrastruktur, bahan kimia dan farmaseutikal, pendidikan dan perkhidmatan pembinaan.

Dengan populasi 7.5 juta penduduk, Chennai merupakan bandar keempat terbesar di India dan menawarkan potensi bagi perluasan perniagaan oleh syarikat Malaysia.

Ekonomi bandar ini dijangka berkembang kepada US$100 bilion (RM300 bilion) di mana ia 2.4 kali daripada jumlah ketika ini menjelang 2025.

Matrade menetapkan sasaran untuk meluaskan eksport ke India dengan memberi fokus kepada kumpulan berpendapatan pertengahan yang kian meningkat dan generasi kedua di bandar itu.

Secara fakta, Chennai mewakili 30 peratus daripada industri automatif India dan 40 peratus daripada industri komponen automatif sekali gus menjadikan ia sebagai sebuah bandar menarik bagi diterokai pemain industri bahagian dan komponen automatif Malaysia.

Selain itu, ia juga merupakan pusat pengeksport perkakasan elektronik terbesar di India iaitu mewakili 45 peratus daripada jumlah eksport negara tersebut.

Kumpulan kelas pertengahan akan menjadi kuasa utama dalam peningkatan perbelanjaan pengguna dan mengambil kira 59 peratus daripada jumlah penggunaan di India pada 2025.

Ia akan diterjemahkan kepada permintaan besar terutama bagi produk seperti kereta, televisyen, komputer, penyaman udara dan ketuhar gelombang mikro.

Dengan permintaan yang semakin meningkat dalam corak kepenggunaan bagi semua sektor, Matrade positif pameran tersebut akan menjana jualan positif bagi syarikat Malaysia di samping mewujudkan kesedaran akan kewujudan produk dan perkhidmatan Malaysia dalam kalangan komuniti perniagaan dan pengguna di India terutama di Chennai.

Source : Bernama
Date : 15 May 2013
Today's Pick (17/05/13/85/1010)



No comments: