Monday, June 17, 2013

Afternoon Highlight (14/06/13/102/780) RM100j perluas ladang tebu

RM100j perluas ladang tebu

Presiden Kumpulan FGV, Tan Sri Sabri Ahmad (kiri) menunjukkan laporan

tahunan MSM sambil diperhatikan Chua dan Ketua Pegawai Kewangan,

Raja Faridah Raja Ahmad di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Surianie Mohd Hanif

MSM laksana pengambilan strategik tanah di Asia Tenggara

MSM Malaysia Holdings Bhd, pengeluar gula terbesar negara memperuntukkan sehingga RM100 juta bagi melaksanakan pengambilalihan strategik di beberapa negara di Asia Tenggara tidak lama lagi.

Ia termasuk mengambilalih tanah bagi penanaman tebu sebagai langkah memastikan kapasiti pengeluarannya pada masa depan akan terus mampan.

Difahamkan, antara negara yang sedang dipertimbangkan kumpulan bagi melaksanakan pengambilalihan strategik itu termasuk Indonesia, Myanmar dan Kemboja.

Kini, cabang perniagaan gula Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) itu yang beroperasi menerusi kilang penapisan di Prai, Pulau Pinang, dan Chuping memiliki gabungan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.1 juta tan.

Ketua Eksekutifnya, Chua Say Sin, berkata peruntukan pelaburan itu adalah dijana daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pada 2011.

“Kami sedia maklum bahawa jalinan kerjasama adalah antara cara untuk membantu mengembangkan lagi kawasan penanaman tebu kumpulan di Asia Tenggara. Justeru, kami memperuntukkan RM100 juta khusus bagi merealisasikan langkah ini.

“Bagaimanapun, satu kajian terperinci sedang dibuat kerana kami masih konservatif mengenainya (untuk membuat pengambilalihan pada masa ini) berikutan unjuran penurunan harga gula dunia,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan itu di Kuala Lumpur semalam.

MSM menjalankan perniagaan gula menerusi dua anak syarikatnya iaitu Malayan Sugar Manufacturing Syarikat dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd.

Tahun lalu, kumpulan itu mengeluarkan 900,620 tan produk gula halus, mencakupi kira-kira 57 peratus daripada jumlah pengeluaran gula di Malaysia.

Walaupun rancangan pengambilalihan itu masih dalam penelitian, syarikat, kata Chua tidak akan berdiam diri, sebaliknya membuat beberapa penambahbaikkan untuk kemudahan pengeluarannya bagi meningkatkan lagi skala kapasiti pengeluaran gula.

“Kami menjangkakan operasi pengeluaran kami akan meningkat kepada 4,600 tan gula mentah cari setiap hari daripada 3,600 tan ketika ini sejajar dengan peningkatan permintaan domestik dan antarabangsa.

“Berikutan itu, kami menaik taraf dua kemudahan kilang penapisan kami di Prai dan Chuping membabitkan beberapa kerja pemodenan seperti melaksanakan sistem automatik sepenuhnya selain menghubungkan kemudahan pembungkusan, pergudangan dan pengedaran kami.

Source : Berita Harian
Date : 13 June 2013
Afternoon Highlight (14/06/13/102/780)

No comments: