Monday, June 17, 2013

Afternoon Highlight (31/05/13/92/790) Pendekatan serampang dua mata industri automotif

Pendekatan serampang dua mata industri automotif

Kenderaan cekap tenaga, pelaburan asing berkualiti teras utama NAP

Pembangunan kenderaan cekap tenaga (EEV) secara besar-besaran serta pembukaan industri automotif domestik kepada lebih banyak pelaburan asing berkualiti, akan menjadi komponen utama Dasar Automotif Negara (NAP) yang dikaji semula.

Pendekatan ‘serampang dua mata’ itu adalah komponen penting bagi membolehkan Malaysia menyaingi negara ASEAN lain dalam sektor automotif memandangkan rantau ini adalah kawasan pertumbuhan seterusnya industri berkenaan di peringkat dunia.

Ketua Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari, berkata kajian semula NAP mendapati langkah membangunkan subsektor EEV adalah komponen paling mustahak dalam menentukan hala tuju industri automotif Malaysia menuju 2020 sambil tidak mengenepikan usaha meningkatkan daya saing peserta industri.

Beliau berkata, industri automotif domestik juga perlu terus diliberalisasikan untuk menarik lebih banyak pengeluar kenderaan antarabangsa menubuhkan kemudahan pengeluaran di negara ini yang membolehkan Malaysia berfungsi sebagai hab eksport bagi rantau ASEAN.

“Selama ini, kita terlalu memberi tumpuan untuk menarik pelaburan yang hanya menampung penggunaan domestik.

Hab eksport ASEAN

“Kita sepatutnya mampu mendapatkan angka yang disasarkan dengan membawa masuk pengeluar kenderaan yang mahu menggunakan Malaysia sebagai hab eksport ASEAN,” katanya kepada media selepas berucap pada Forum ‘Business Times Insight-Dasar Automotif Negara’ anjuran sisipan perniagaan akhbar New Straits Times (NST), Business Times di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kajian semula NAP, pelbagai pihak dalam industri automotif dirujuk bagi mendapatkan maklumat terperinci dan amalan terbaik daripada sektor swasta, pertubuhan dan agensi kerajaan.

Sasaran utama kajian semula NAP adalah untuk memastikan peningkatan keupayaan dan daya saing industri automotif tempatan dalam jangka panjang dengan mengambil kira perkembangan terkini pada peringkat serantau serta antarabangsa di samping menawarkan kenderaan yang lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi kepada pengguna.

Madani berkata, jumlah pengeluaran industri (TIV) ASEAN dijangka mencecah 5.5 juta unit menjelang 2020, berbanding TIV semasa sekitar 3.5 juta unit.

“Kedudukan rantau ASEAN yang semakin menarik dan berdaya saing menyebabkan banyak pengeluar peralatan tulen (OEM) serta pengeluar alat ganti serta kenderaan global meninjau pasaran yang sesuai di sini untuk dilabur.

“Mengapa tidak mereka memilih Malaysia. Inilah yang sedang dirangka dalam NAP supaya memastikan kita tidak tertinggal di belakang dalam tempoh tujuh tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, penyusunan hala tuju industri menerusi semakan semula NAP itu akan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi EEV dengan penggunaan teknologi tinggi dalam kalangan peserta industri sama ada bagi penggunaan domestik mahu pun eksport pasaran serantau dan antarabangsa.

“Memperkatakan mengenai EEV, ia bukan sekadar kenderaan hibrid dan elektrik semata-mata. Kenderaan cekap penggunaan bahan bakar juga termasuk dalam kategori cekap tenaga dan permintaan yang tinggi dapat disaksikan bagi kenderaan sedemikian,” katanya.

Semakan semula NAP

Dalam tempoh tujuh tahun lagi, Madani berkata, industri automotif Malaysia disasar mengeluarkan sehingga 1.35 juta unit kenderaan dengan 1.15 juta unit terdiri daripada EEV.

“Daripada jumlah itu, 1.1 juta unit akan dijual dalam pasaran domestik manakala selebihnya untuk pasaran eksport,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Madani berkata, semakan semula NAP akan diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam tempoh yang terdekat.

“Pendapat peribadi saya, NAP perlu didedahkan secepat mungkin supaya rakyat dan peserta industri mendapatkan gambaran yang jelas berhubung dasar kerajaan dalam sektor ini,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan NAP, beliau berkata kerajaan akan menubuhkan Majlis Automotif Malaysia (MAC) yang dipengerusikan sendiri oleh Mustapa.

MAC akan berkuat kuasa sebaik saja NAP diumumkan secara rasmi.

Source : Berita Harian
Date : 30 May 2013
Afternoon Highlight (31/05/13/92/790)

No comments: