Friday, June 14, 2013

Today's Pick (16/05/13/84/1009)Permintaan tayar kereta penumpang meningkat

Permintaan tayar kereta penumpang meningkat


Peningkatan tahap kemewahan serta pemilikan kereta telah melonjakkan permintaan bagi tayar kereta penumpang di zon tengah Malaysia, demikian mengikut satu audit yang dijalankan GfK Malaysia.

Pengarah Pengurusannya, Selinna Chin berkata jualan tayar kereta penumpang di di Kuala Lumpur dan Selangor meningkat 14.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, audit firma itu turut menunjukkan arah aliran meningkat bagi jualan segmen tayar profil rendah bersaiz 55, 50, 45, 40 serta 35 dan ke bawah yang lebih mahal.

“Jualan bagi tayar segmen berkenaan meningkat 26 peratus dalam suku pertama 2013. Berikutan itu sumbangan jualan tayar profil rendah kepada jualan keseluruhan tayar meningkat kepada 49 peratus dalam suku yang dikaji berbanding 44 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Penarafan ‘W’

“Di samping itu, kecenderungan kepada pembelian tayar dengan kemampuan kelajuan lebih tinggi, iaitu dengan penarafan ‘W’ turut menyaksikan peningkatan kukuh apabila sumbangannya kepada jumlah jualan berkembang kepada lebih 12 peratus dalam tempoh berkenaan.

“Ini sekali gus mengurangkan sumbangan jualan tayar dengan kemampuan kelajuan sederhana bertaraf ‘T’ menurun daripada 11 peratus kepada sembilan peratus,” katanya dalam satu kenyataan mengumumkan keputusan audit firma itu di Kuala Lumpur, semalam.

Chin menegaskan, sejajar dengan peningkatan populariti tayar profil rendah di zon tengah Malaysia, jualan bagi tayar kereta dengan rim berdiameter 16 inci mencatatkan pertumbuhan paling tinggi dalam suku pertama 2013, merangkumi hampir 18 peratus dalam jumlah jualan keseluruhan.

“Ini sekali gus menyebabkan penurunan terhadap permintaan tayar bagi rim biasa 13 dan 14 inci yang secara keseluruhannya menyumbang sebanyak 32 peratus,” katanya.

Peningkatan perlahan

Tinjauan GfK itu juga mendapati peningkatan secara perlahan harga purata tayar kereta di zon tengah Malaysia yang meningkat daripada AS$77 seunit (RM231 seunit) pada Mac 2012 kepada AS$100 (RM300) pada Mac lalu.

“Kereta baru yang dilancarkan kini kebanyakannya dilengkapi dengan tayar profil rendah yang berprestasi tinggi. Ini bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan tahap keselamatan dan keselesaan lebih tinggi tetapi tanpa kompromi dari segi prestasi.

“Berikutan peningkatan berterusan bilangan kereta di jalan raya, pertumbuhan permintaan bagi segmen tayar profil rendah ini akan menjadi pendorong utama kepada prestasi industri tayar kereta penumpang pada tahun-tahun yang mendatang,” katanya.

Source : Berita Harian
Date : 15 May 2013
Today's Pick (16/05/13/84/1009)

No comments: