Tuesday, June 4, 2013

Afternoon Highlight (25/04/13/70/768)Iskandar Malaysia raih pelaburan baru RM5.06b

Iskandar Malaysia raih pelaburan baru RM5.06b


Iskandar Malaysia meraih komitmen pelaburan baru RM5.06 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah yang diterima sejak 2006 adalah RM111.37 bilion.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, berkata prestasi pada suku pertama itu menunjukkan Iskandar Malaysia terus menerima sokongan dan perhatian daripada pelabur tempatan serta asing, justeru memacu pertumbuhannya.

Tarik pelabur berpotensi

Ia juga, katanya, mencerminkan tahap keyakinan pelabur terhadap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak pemegang kepentingan di wilayah pembangunan ekonomi berkenaan.

“Beberapa projek yang siap tahun ini, termasuk pembukaan Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Medini dan Traders Hotel, Puteri Harbour.

“Pembangunan itu akan meningkatkan cadangan nilai yang ditawarkan wilayah ekonomi berkenaan dan menjadikan ia lebih menarik kepada pelabur berpotensi untuk melabur di Iskandar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru semalam.

Sudah direalisasi

Ismail menjelaskan, daripada RM111.37 bilion komitmen keseluruhan pelaburan dalam pelbagai sektor sejak 2006 hingga 31 Mac lalu, sebanyak RM44.82 bilion atau 40.2 peratus sudah direalisasikan.

Katanya, di kalangan kluster industri galakan di bawah rangka kerja bagi wilayah itu, sektor pengeluaran mencatat komitmen pelaburan terkumpul tertinggi iaitu RM35.33 bilion.

Ia diikuti oleh petrokimia danoleo - kimia dengan RM5.95 bilion, logistik (RM4.43 bilion), pelancongan (RM2.23 bilion), penjagaan kesihatan (RM1.6 bilion), pendidikan (RM1.55 bilion), perkhidmatan kewangan (RM600 juta) dan industri kreatif (RM400 juta).

Sementara itu, katanya, bagi sektor sokongan lain, pembangunan hartanah yang merangkumi segmen kediaman serta industri dan runcit secara keseluruhannya menyumbang pelaburan sebanyak RM40.42 bilion.

64 peratus pelabur domestik Ia diikuti utiliti dengan RM9.53 bilion, pelaburan kerajaan, terutama dalam infrastruktur dan kerja awam (RM8.31 bilion) dan teknologi baru (RM1.03 bilion).

Dari segi penyertaan pelabur, Ismail berkata, sebanyak 64 peratus atau RM72.6 bilion adalah pelaburan domestik, manakala 36 peratus atau RM38.8 bilion adalah pelaburan asing.

“Kami sedang menantikan lebih banyak pelaburan berkualiti untuk masuk ke Iskandar Malaysia. Ini berdasarkan minat yang ditunjukkan oleh pelabur dari Indonesia, China, India dan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) khususnya dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan,” katanya.

Ismail berkata, Asia kekal sebagai sumber kemasukan pelaburan asing (FDI) utama ke wilayah itu dengan Singapura dan Jepun menjadi pelabur terbesar.

Pelabur terbesar antarabangsa lain termasuk dari negara Kesatuan Eropah (EU) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Source: Berita Harian
Date: 25 April 2013
Afternoon Highlight (25/04/13/70/768)

No comments: