Friday, June 14, 2013

Today's Pick (14/05/13/82/1007) AIM sedia RM2b naik taraf usahawan mikro

AIM sedia RM2b naik taraf usahawan mikro

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan dana pinjaman berjumlah RM2 bilion tahun ini dalam usahanya untuk menaik taraf lebih banyak perniagaan usahawan mikro kepada status perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan, Datuk Zabidah Ismail (gambar), berkata AIM yang diberikan mandat menyalurkan pinjaman kepada usahawan mikro kini menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan dan kemajuan usahawannya untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

Ketika ini, kira-kira 20 peratus daripada 340,000 peminjam AIM yang dikenali ‘Sahabat’ sudah berjaya mencapai status PKS dengan kemampuan meraih pendapatan melebihi RM3,500 sebulan.

Katanya, AIM menyasarkan 30 peratus daripada ahlinya yang dalam pelbagai bidang perniagaan mencapai status usahawan PKS menjelang 2015.

“AIM memperuntukkan pinjaman lebih tinggi tahun ini dalam usaha membantu lebih ramai peniaga kecil terutama di kawasan luar bandar mengembangkan perniagaan mereka bagi meraih pendapatan yang lebih tinggi.

Pinjaman hingga RM50,000

“Tumpuan kami adalah menaik taraf perniagaan usahawan sedia ada dan membantu mereka mengembangkan perniagaan hingga ke peringkat eksport,” katanya kepada BH sini.

Daripada RM2 bilion yang diperuntukkan, sebanyak RM389 juta sudah disalurkan kepada peminjam bagi suku pertama tahun ini.

Pada masa ini, Zabidah berkata AIM menawarkan pembiayaan daripada RM3,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik antara setahun hingga lima tahun, menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.

Bagaimanapun, bermula tahun lalu, katanya peminjam AIM yang berkemampuan menjalankan perniagaan berskala be-sar boleh mendapatkan pinjaman lebih RM50,000 menerusi Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd yang ditubuhkan Ogos 2012.

“Kami sentiasa peka dengan keperluan peminjam dan hingga kini AIM mencatat kadar bayaran balik yang baik iaitu hingga 96.6 peratus, dengan sebahagian besar cawangan kami mencatat bayaran balik 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, AIM tidak akan menambah cawangan baru bagi memberi sepenuh tumpuan kepada 123 cawangan sedia ada di seluruh negara.

Source : Berita Harian
Date : 13 May 2013
 Today's Pick (14/05/13/82/1007)

No comments: