Tuesday, June 4, 2013

Afternoon Highlight (24/04/13/69/767)Pengeluar perabot diminta tukar aktiviti utama

Pengeluar perabot diminta tukar aktiviti utama


KUALA LUMPUR 21 April - Pengeluar perabot tempatan disarankan supaya menjadikan aktiviti utama mereka sebagai pengeluar reka bentuk tulen (ODM), berbanding hanya memberi tumpuan sebagai pengeluar peralatan tulen (OEM) yang mempunyai risiko lebih tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Promosi Perabot Malaysia (MFPC), Sarimah Mohamad Sabudin, ini memandangkan Malaysia kini bukan lagi merupakan lokasi OEM yang murah selepas munculnya beberapa negara yang mampu menawarkan kos pengeluaran yang lebih kompetitif.

Hal itu sekali gus menjejaskan peluang negara sebagai pilihan aktiviti OEM, walaupun Malaysia merupakan sumber utama bagi kayu perabot.

"Mengikut konsep OEM, pengeluar tempatan hanya dilantik untuk mengeluarkan produk pemilik asal jenama sesuatu perabot mengikut perjanjian tertentu.

"Namun, mereka (pengeluar) berisiko untuk kehilangan hak tersebut jika pemilik asal berjaya mencari negara yang boleh menawarkan kos pengeluaran yang lebih rendah.

"Ini akan mengganggu perkembangan industri perabot negara," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebaliknya tambah beliau, melalui ODM, pengeluar berperanan sebagai pereka asal perabot dan memudahkan mereka mengawal perniagaan mereka secara efisien tanpa menjadi pihak ketiga.

Namun, pihaknya mengakui wujudnya masalah di dalam industri seperti mencari pereka perabot yang baik, selain keengganan pengeluar berbelanja tinggi mengambil pereka dalaman.

"Masalah berpunca akibat tiadanya keserasian antara industri dan institut pengajian tinggi (IPT), khususnya dalam menyediakan peluang kepada pelajar untuk bekerja di dalam sektor perabot," katanya.

Katanya, pemain-pemain industri kurang memberi peluang kepada pelajar, dan pada masa sama, IPT yang menawarkan kursus ini juga kurang mendedahkan pelajar kepada pasaran.

"Jika ada sekalipun, pelajar yang mempelajari bidang ini (pereka), akhirnya akan bekerja dalam sektor lain. Ini merugikan industri dan pelajar itu sendiri," katanya.

Ketika ini, daripada kira-kira 500 pengeluar perabot tempatan yang ada ketika ini, peratusan ODM amatlah rendah.

Ujar Sarimah, walaupun agak terlambat, MFPC akan berusaha untuk mengukuhkan perhubungan antara industri dan IPT bagi mewujudkan jaringan industri yang kukuh.

"Tidak dinafikan pelajar-pelajar ini memiliki kemahiran serta idea reka bentuk yang menarik. Tetapi jika kurang pendedahan kesemua idea itu sukar diterjemahkan kepada reka bentuk akhir," katanya.

Beliau turut mengaitkan kepentingan ODM terhadap sasaran negara untuk mencatatkan eksport perabot berjumlah RM16 bilion menjelang 2020.

Source: Utusan Malaysia
Date: 21 April 2013
Afternoon Highlight (24/04/13/69/767)

No comments: