Tuesday, June 4, 2013

Afternoon Highlight (19/04/13/66/764) MSC Malaysia sedia 85,000 peluang kerja

MSC Malaysia sedia 85,000 peluang kerja


Inisiatif tingkat kemahiran pekerja pikat pelabur luar negara

MSC Malaysia bakal mewujudkan sehingga 85,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baru sehingga 2015.

Ia adalah tambahan kepada 119,000 pekerjaan yang telah diwujudkan daripada inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perdana negara itu setakat akhir 2011.

Ketua Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali, berkata jumlah pekerjaan yang bakal diwujudkan itu berdasarkan kepada peningkatan arah aliran pelaburan ke MSC Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“MSC Malaysia terus menerima pelaburan baru dari luar negara, di samping pelaburan domestik yang sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

“Pelabur menggemari Malaysia sebagai pusat pengembangan operasi mereka memandangkan kita sentiasa berusaha meningkatkan dan menaik taraf tahap kemahiran pekerja,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran memorandum persetujuan (MoA) Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah-Kem Kerja (JC-GEMS) antara MDeC dengan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) di Cyberjaya, semalam. Turut hadir ialah ialah Ketua Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican.

Badlisham berkata, MSC Malaysia menarik pelaburan kira-kira RM3 bilion tahun lalu menerusi tiga teras industri utamanya, iaitu per-kongsian perkhidmatan dan penyumberan luar (SSO), isi kandungan multimedia kreatif dan teknologi maklumat generik.

Purata gaji tinggi

Malah, katanya purata gaji yang diterima pekerja berkemahiran dan profesional dalam industri di bawah MSC Malaysia tahun lalu mencecah RM4,500 sebulan, iaitu jauh lebih tinggi berbanding purata nasional bagi skala pekerjaan sama iaitu RM2,800 sebulan.

“Pekerjaan baru yang bakal diwujudkan di MSC Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini akan berada dalam lingkungan purata gaji berkenaan kerana MDeC kini memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tambah serta membentuk pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya pelaburan bermutu tinggi sedemikian hanya dapat dikekalkan jika tenaga kerja tempatan terus meningkatkan tahap kemahiran masing-masing yang membolehkan mereka relevan kepada industri serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Pakatan strategik

Bagi tujuan itu, beliau berkata inisiatif MDeC untuk membangunkan tenaga kerja berpengetahuan yang mampan boleh dicapai menerusi kerjasama serta pakatan strategik dengan rakan usaha sama seperti TalentCorp, syarikat ICT, penyedia latihan serta institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kami percaya sinergi dibentuk akan terus menyediakan tenaga kerja dengan pengetahuan yang relevan serta kemahiran diperlukan oleh syarikat,” katanya.

Badlisham berkata, MDeC menyasar untuk melatih kira-kira 12,000 siswazah baru dan profesional tahun ini melalui beberapa program sedia ada serta yang baru dirangka.

Source : Berita Harian
Date : 19 April 2013
Afternoon Highlight (19/04/13/66/764)



No comments: