Thursday, June 13, 2013

Afternoon Highlight (03/04/13/75/773) PNS sasar naik taraf 15 peniaga kecil ke francaisor

PNS sasar naik taraf 15 peniaga kecil ke francaisor


Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyasar membangun dan menaikkan taraf sekurang-kurangnya 15 perniagaan kecil sebagai francaisor di bawah Program Pemodenan Peruncitan, tahun ini.

Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata PNS memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM4 juta tahun ini untuk disalurkan kepada peniaga kecil yang dikenal pasti layak menyertai program pembangunan itu.

Beliau berkata, program itu membabitkan syarikat dalam semua sektor perniagaan yang dilihat berpotensi untuk dikembangkan menerusi sistem francais serta dibantu sehingga ke pasaran antarabangsa.

“PNS menerusi Unit Pemodenan Peruncitan akan mengenal pasti syarikat atau peniaga kecil ini di pasar malam, pasar tani atau ekspo perniagaan untuk diberikan bimbingan dan latihan. Mereka perlu mempunyai sekurang-kurangnya rekod akaun baik selama tiga tahun bagi dinaikkan taraf kepada perniagaan moden, sistematik serta memiliki penjenamaan komersial.

Masih beri sumbangan kecil

“Selain sektor makanan dan minuman, PNS tahun ini akan memberikan tumpuan dalam membangunkan francaisor dalam sektor perkhidmatan yang dilihat masih memberikan sumbangan yang kecil kepada industri,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, PNS juga menyasarkan mewujudkan sekurang-kurangnya 150 francaisi menerusi 15 francaisor yang akan dibangunkan tahun ini, yang memberi peluang perniagaan kepada usahawan kecil yang lain.

Katanya, usahawan yang dikenal pasti perlu membuat pembentangan kertas kerja merangkumi rancangan dan akaun perniagaan mereka kepada Jawatankuasa Induk Penilaian Program Pemodenan Peruncitan bagi mendapat kelulusan untuk menyertai program berkenaan.

“Untuk tahun ini, kami amat mengalu-alukan peniaga kecil dalam sektor perkhidmatan seperti pertukangan kunci dan kasut, pembaikan paip dan elektrik bagi menyertai program ini,” katanya sambil menambah program itu bermatlamat menjadikan usahawan kecil lebih kompetitif dan mampu menjana lebih keuntungan.

Kursus francais

Tahun lalu, katanya agensi itu berjaya mengenalpasti lima usahawan di bawah Program Pemodenan Peruncitan PNS yang masih lagi diberikan bimbingan dan latihan, iaitu Rich D Blended (Perniagaan Ice Blended); MyFruit Zone (Perniagaan buah potong dalam cawan); Old Time Sengkuang (Perniagaan sengkuang calit); Evora Marketing (Waffle Station) dan Waffle King (Perniagaan Waffle).

Katanya, syarikat yang dipilih itu akan melalui kursus asas francais serta latihan asas keusahawanan dan jika didapati layak dan sudah benar-benar bersedia untuk menjadi perniagaan francais, mereka akan ditawarkan pembiayaan sehingga RM2 juta menerusi skim pembiayaan yang lain.

Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman berkata, PNS yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM40 juta tahun ini membangunkan usahawan francais tempatan menerusi pelbagai skim termasuk membantu mereka mengembangkan operasi ke luar negara.

“Tahun lalu, PNS memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM30 juta dan dalam hal ini soal dana bukan menjadi isu kerana kami mempunyai dana mencukupi bagi menyokong keperluan pembiayaan dan pengembangan syarikat francais tempatan,” katanya.


Source : Berita Harian

Date : 3 May 2013

Afternoon Highlight (03/04/13/75/773)

No comments: