Thursday, June 27, 2013

Afternoon Highlights (25/06/13/106/784)HDC manfaat Dubai

HDC manfaat Dubai


KUALA LUMPUR 24 Jun - Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) akan memanfaatkan peluang untuk bekerjasama dengan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam mengedarkan produk dan perkhidmatan halal ke seluruh dunia.

Kerjasama kedua-dua negara itu dijangka dimeterai selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, Dubai berpotensi menjadi pintu masuk dan pusat sehenti produk dan perkhidmatan halal dari Malaysia ke negara-negara yang terletak di Eropah, Asia Barat, Afrika dan benua Amerika.

Katanya, sementara Malaysia pula berpotensi menjadi pusat pengedaran produk dan perkhidmatan halal di bahagian Asia Tenggara, Asia Selatan dan Timur Jauh.

Jelasnya, Dubai juga menjadi pusat pengedaran produk dan perkhidmatan halal ke benua-benua yang tidak dapat ditembusi oleh Malaysia sebelum ini.

"Kami menganggap Dubai sebagai rakan strategik yang akan mengembangkan lagi industri halal ke seluruh dunia sebagaimana permintaan terhadap produk-produk dan perkhidmatan halal lebih tinggi berbanding penawaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pembangunan vendor halal di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Hanisah Omar.

Pada Februari lalu, kerajaan Dubai telah mengumumkan perancangan untuk menjadi pusat produk halal dan sistem kewangan Islam dunia.

Tambah Jamil, sebuah jawatankuasa untuk pemeteraian kerjasama di antara Dubai dan Malaysia telah dibentuk dan sebuah pelan induk sedang dilaksanakan.

Mengenai syarikat-syarikat tempatan yang mengeksport produk halal ke luar negara, kata Jamil, setakat ini, sebanyak 740 buah syarikat daripada 2,886 syarikat yang mendapat persijilan halal telah berjaya mengeksport produk halal masing-masing ke luar negara pada tahun lalu.

Katanya, sebanyak 73 peratus daripada syarikat pengeksport tersebut merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Sumbangan eksport di kalangan syarikat-syarikat multinasional adalah tertinggi iaitu 67 peratus daripada keseluruhan eksport produk halal dengan nilai RM21.9 bilion. Jumlah eksport produk halal tahun lalu adalah RM32.8 bilion.

"Hanya 10 peratus daripada jumlah pengeksport merupakan syarikat bumiputera yang mana sumbangannya adalah amat kecil iaitu 12.2 peratus kepada keseluruhan eksport halal," ujarnya.

Oleh itu, tegas Jamil, usaha perlu diperhebatkan untuk meningkatkan pengeluaran produk halal dan penglibatan rakyat supaya dapat bersama-sama memperoleh manfaat daripada pasaran global.

Source : Utusan Melayu

Date : 25 June 2013 Afternoon Highlights (25/06/13/106/784)

No comments: