Friday, January 27, 2012

Today's Pick (27/01/12/017/709) Pelaburan domestik diutamakan

Pelaburan domestik diutamakan

TAHUN 2012 diunjur sebagai tempoh yang sangat mencabar kepada semua negara termasuk Malaysia berikutan krisis ekonomi global yang berterusan.

Sehubungan itu, Wartawan Utusan Malaysia, NORLAILI ABDUL RAHMAN telah menemubual Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED untuk mendapatkan pandangan tentang usaha-usaha dilakukan dalam memastikan ekonomi Malaysia kekal berkembang di sebalik apa yang berlaku. Berikut adalah temu bual tersebut:

UTUSAN: Umum mengetahui ekonomi global sememangnya bermasalah, apakah usaha yang dilakukan untuk meningkatkan pelaburan termasuk pelaburan asing?

MUSTAPA: Kita akui bahawa tahun ini lebih mencabar untuk mencapai angka pelaburan yang sama seperti mana tahun 2010 dan 2011. Namun, harus diingat, pertumbuhan negara bukan bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) semata-mata sebaliknya pelaburan domestik (DDI) juga menjadi penyumbang utama kepada perolehan Malaysia. Jadi pada tahun 2012 ini, MITI dan kerajaan mahu memberi lebih tumpuan kepada DDI. Ini bukan bermakna kami menidakkan sumbangan pelabur asing, tetapi strategi ini bertujuan memastikan pertumbuhan negara tidak terjejas.

Sejauh mana prestasi pelaburan kita tahun lalu?

Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur asing.

Dari Januari hingga November 2011, Malaysia telah menarik pelaburan yang besar dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor-sektor utama dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM120.4 bilion daripada 3,825 projek.

Angka ini melepasi sasaran purata pelaburan tahunan yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 sebanyak RM115 billion.

Dari jumlah ini pelaburan domestik adalah sebanyak RM69.2 bilion atau 57.5 peratus manakala pelaburan asing pula sebanyak RM51.2 billion. Apabila projek-projek tersebut dilaksanakan, kita menjangkakan sebanyak 118,384 peluang pekerjaan akan dijana kepada rakyat tempatan.

Apakah negara-negara yang menjadi pelabur utama FDI di negara ini?

Prestasi Pelaburan Januari hingga November 2011 menunjukkan Jepun, Amerika Syarikat, Singapura, Arab Saudi dan Republik Korea adalah sumber utama pelaburan asing dalam projek-projek yang diluluskan bagi sektor perkilangan dengan pelaburan sebanyak RM14.4 bilion atau 56.2 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan.

Bolehkah Datuk Seri ceritakan dengan lebih terperinci, sektor manakah yang telah menerima pelaburan paling tinggi pada tahun lalu?

Bagi Januari hingga November 2011, Industri elektrik dan elektronik (E & E) kekal sebagai industri yang tertinggi diikuti dengan keluaran logam asas, kimia dan produk kimia, kelengkapan pengangkutan dan produk logam yang direka. Kelima-lima industri ini menyumbang RM33.1 bilion atau 72.7 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Apakah inisiatif-inisiatif lain yang bakal diperkenalkan bagi mendorong lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini.

Pelbagai inisiatif untuk memastikan bahawa negara ini kekal sebagai destinasi yang menarik bagi aliran FDI global. Inisiatif-inisiatif ini dikaji semula dari semasa ke semasa dan dipantau secara berterusan untuk memastikan keberkesanan mereka dalam usaha mengekalkan daya saing, Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperbaiki persekitaran perniagaan di negara ini termasuk penyediaan insentif-insentif yang menarik untuk menarik pelaburan yang berkualiti dari kedua-dua pelabur tempatan dan asing kerana ia tidak lagi mempromosikan projek-projek yang nilai tambahnya rendah dan projek-projek yang berorientasikan buruh.

Menyentuh mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merupakan salah satu cara untuk meningkatkan perdagangan Malaysia, jadi berapa banyakkah FTA yang bakal ditandatangani Malaysia pada tahun ini?

Kita sedang berunding FTA dengan Australia, Kesatuan Eropah, Turki selain Pakatan Trans-Pasifik (TPP) yang melibatkan sembilan buah negara. Selepas ini, Malaysia juga mungkin akan menandatangani FTA dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Keempat-empat FTA tersebut kecuali TPP diyakini mampu dimuktamadkan pada tahun ini.

Bolehkah Datuk Seri jelaskan lebih lanjut tentang FTA dan kelebihan yang boleh dinikmati oleh Malaysia menerusinya?

Malaysia mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan banyak bergantung kepada perdagangan antarabangsa sebagai jentera pertumbuhan ekonomi yang penting, terutamanya dari segi eksport.

FTA banyak membantu Malaysia untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih baik bagi barangan dan perkhidmatan selain mempromosi dan memudahkan perdagangan dan pelaburan melalui langkah-langkah fasilitasi serta kerjasama ekonomi.

Apakah faedah-faedah lain yang boleh dinikmati oleh Malaysia melalui FTA?

Ia mewujudkan peluang-peluang akses pasaran bagi pengeksport dan pembekal perkhidmatan Malaysia. Bagi barangan, akses kepada pasaran rakan FTA dipertingkatkan melalui layanan keutamaan (preferential treatment) yang dinikmati oleh barangan eksport Malaysia berbanding eksport negara-negara lain yang tidak mempunyai FTA dengan negara tersebut.

FTA juga menjadi memberikan kelebihan kepada pengeksport-pengeksport Malaysia di pasaran-pasaran yang dilindungi, contohnya tekstil dan pakaian di Amerika Syarikat
.

Berapa banyakkah perjanjian FTA yang telah di meterai termasuk melalui ASEAN dan apakah hasil yang telah diraih?

Sebanyak 10 perjanjian FTA telah dimeterai dan dilaksanakan yang hasilnya menyaksikan pembukaan pasaran oleh rakan FTA Malaysia, sekali gus meningkat prestasi perdagangan. Sebenarnya banyak hasil yang telah diraih, contohnya di bawah perjanjian Malaysia-Japan EPA (MJEPA) yang mula dilaksanakan 13 Julai 2006 menyaksikan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara telah meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM133 bilion pada tahun 2010, berbanding RM113.3 bilion pada tahun 2005.

Malah eksport Malaysia ke Jepun telah meningkat sebanyak 32 peratus kepada RM66.8 bilion bagi tahun 2010, berbanding RM50.5 bilion pada tahun 2005.

Manakala FTA Malaysia-Pakistan CEPA (MPCEPA) yang dilaksanakan 1 Januari 2008 pula memperlihatkan eksport ke Pakistan mencatatkan peningkatan sebanyak 69 peratus kepada RM7.3 bilion bagi tahun 2010, berbanding RM4.3 bilion pada tahun 2007.

Datuk Seri telah memperjelaskan kelebihan daripada perdagangan, bagaimanapun manfaat dari segi pelaburan?

Dari segi pelaburan pula, dengan adanya FTA pelabur Malaysia akan diberi layanan yang sama dengan pelabur tempatan (national treatment) dan pelaburan mereka dilindungi di bawah undang-undang tempatan dan pelbagai lagi kelebihan yang ada.

MITI telah mengambil alih peranan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dalam membangunkan usahawan, apakah usaha dilakukan untuk memantapkan mereka?

Kami juga turut memperkenalkan satu program baharu yang berkaitan dengan keusahawanan sosial di kalangan pelajar-pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Program yang dikenali 1Malaysia Young Entrepreneur Challenge (1MYEC) berperanan mempromosi bakat dan kemahiran keusahawanan di kalangan pelajar. Seramai 260 peserta daripada 31 IPT menyertai program ini pada 2011.

Bagi program peningkatan produk dan pemasaran, sejumlah 11 program telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2011. Program-program tersebut adalah Showcase SDSI peringkat Nasional 2011, penyertaan pameran perdagangan domestik di MIHAS 2011, Ekspo Perdagangan Regatta Sarawak, HalFest 2011, Pameran Produk di Showcase Pelancongan Sabah 2011.

Untuk program-program di bawah outreach/turun padang pula, lima siri program MITI Bersama Usahawan (Karnival Usahawan), tiga program Transformasi Halal, 21 lawatan kilang, lima seminar dan tiga dialog bersama NGO Bumiputera telah berjaya dilaksanakan.

Bagaimanakah pula program lain?

MITI telah melaksanakan banyak program termasuk program SIFE World Cup 2011, di mana Kuala Lumpur telah terpilih sebagai tuan rumah bagi program ini yang diadakan mulai 3 hingga 5 Oktober 2011. Sejumlah 2,800 pelajar dari 37 negara seluruh dunia menyertai program ini. Negara-negara yang terlibat antaranya ialah Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, negara-negara Afrika seperti Zimbabwe, Afrika Selatan dan juga negara-negara daripada Amerika Selatan dan Timur Tengah.

Adakah MITI akan memperkenalkan program baharu tahun ini?

Program yang dirancang oleh MITI bagi tahun 2012, salah satunya adalah usaha bagi memantau projek rintis di bawah Lab Bumiputera. Sejumlah 20 projek rintis telah dikenalpasti melalui Lab Bumiputera yang dilaksanakan oleh BPU pada 2011. Setakat ini, satu projek rintis MY MRT telah diluluskan oleh Teraju Delivery Committee bagi pelaksanaan 2012. MITI juga dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan projek-projek ini.

Apakah kekangan yang dihadapi oleh MITI dalam melaksanakan program Bumiputera?

Berbeza dengan MECD dahulu, MITI mempunyai peruntukan yang amat terhad sehingga tidak mampu untuk melaksanakan program keusahawanan secara agresif dan memenuhi kehendak pelanggan yang ramai terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Sungguhpun begitu, MITI kerap melaksanakan program-program kerjasama dengan pihak-pihak luar seperti dialog, seminar dan latihan serta telah mewujudkan saluran Khidmat Nasihat Keusahawanan melalui Business Advisory Centre (BAC) yang dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac 2010.

Sungguhpun begitu, MITI telah memainkan peranan yang agak menonjol berbanding agensi-agensi lain yang juga ‘mewarisi’ peranan dan tanggungjawab berikutan pembubaran MECD.

Apakah hasrat Datuk Seri pada tahun ini?

Sebagai menteri yang bertanggungjawab di dalam hal-hal berkaitan dengan pelaburan dan perdagangan terutamanya, apa jua kami lakukan di MITI, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya menjurus kepada pelaburan dan perdagangan negara. Paling penting kita dapat menyediakan iklim pelaburan dan perdagangan yang konduksif untuk pelabur-pelabur tempatan dan luar negara sekaligus dapat menjana peluang pekerjaan yang baik dan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Source : Utusan Malaysia
Date : 26 January 2012

No comments: