Thursday, January 12, 2012

Afternoon Highlight (05/01/12/003/478) Pasar raya PKS pertama

Pasar raya PKS pertama

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Pasar raya khas untuk pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) bernilai lebih RM100 juta dan pertama seumpamanya di Malaysia, MYagro Hypermarket bakal beroperasi Jumaat ini.

Ia juga akan menempatkan Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M), kata Pengarah Urusan Jamal Jaya Holdings Sdn. Bhd. (Jamal Jaya), Datuk Jamal Md. Yunos.

Pasar raya khas berkeluasan 25,000 meter persegi itu ditempatkan di Dewan D, tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) di Serdang, dekat sini.

Jamal yang juga pengendali MYagro Hypermarket berkata, pasar raya tersebut akan menjadi platform terbaik untuk PKS tempatan mempromosikan produk mereka secara berterusan sepanjang tahun.

Katanya, MYagro Hypermarket dijangka menawarkan 13,000 produk keperluan harian daripada 5,000 usahawan PKS.

“Kami juga membuka cawangan kedua KIR1M yang jauh lebih besar daripada cawangan pertama di Setiawangsa bagi memberi lebih kemudahan kepada pengunjung.

“MYagro Hypermarket akan menjadi pusat sehenti bagi orang ramai memperoleh pelbagai barangan keperluan harian yang murah dan sukar diperolehi di pasar raya lain,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jamal berkata, MYagro Hypermarket diwujudkan bagi membantu usahawan PKS tempatan dengan memasarkan produk mereka terus kepada pelanggan tanpa melalui orang tengah dan dibenarkan menggunakan jenama sendiri.

“Saya berharap orang ramai dapat hadir ke MYagro Hypermarket bagi membantu usahawan PKS tempatan meningkatkan jualan mereka dan saya yakin jika mendapat sokongan, lebih banyak produk PKS berkualiti dapat dihasilkan pada masa depan,’’ jelasnya.

MYagro Hypermarket akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam dan lebih 5,000 ruang letak kereta disediakan untuk keselesaan pelanggan.

Tambah Jamal lagi, pihaknya masih membuka pintu kepada usahawan PKS lain yang mahu menyertai MYagro Hypermarket dan permohonan boleh dibuat terus di pasar raya berkenaan.

“Kami sangat menggalakkan kehadiran produk dari industri kecil-kecilan di kawasan kampung bagi meningkatkan pilihan dan keunikan di MYagro Hypermarket,’’ ujarnya.

Source : Utusan Malaysia
Date : 4 January 2011
Afternoon Highlight (05/01/12/003/476)

No comments: