Wednesday, January 25, 2012

afternoon highlight (25/01/12/015/490) Sekretariat khas perkukuh agenda TERAJU

Sekretariat khas perkukuh agenda TERAJU

Tubuh TERAJU@KORIDOR mantap strategi serampang 3 mata UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan menubuhkan sekretariat khas di semua koridor pembangunan di negara ini sebagai strategi serampang tiga mata untuk memantapkan lagi agenda pengukuhan ekonomi Bumiputera tahun ini.

Penubuhan sekretariat itu bermatlamat untuk memberi penerangan lanjut kepada masyarakat mengenai program sedia ada yang dikendalikannya dan membentuk kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi melahirkan lebih banyak inisiatif baru kepada Bumiputera.

Ia juga akan mencari beberapa syarikat berpotensi untuk diserap di bawah program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS).

Unit di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akan menubuhkan sekretariat tetapnya di Wilayah Pembangunan Iskandar, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Sarawak Bagi Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Ketua Eksekutifnya, Husni Salleh, berkata sekretariat itu yang akan dikenali sebagai TERAJU@KORIDOR membolehkan TERAJU bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk meninjau mana-mana peluang pertumbuhan di wilayah pembangunan terbabit yang boleh dimanfaatkan syarikat Bumiputera.

“Selepas setahun ditubuhkan, TERAJU kini sudah mempunyai program sendiri yang akan diterapkan kepada kumpulan sasar.

“Perancangan tidak semestinya dibuat pada peringkat Persekutuan, malah ia akan dikembangkan pada peringkat negeri, justeru kami mengenal pasti potensi koridor pembangunan negara sebagai antara pemangkin kepada pelaksanaan semua program itu,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Petaling Jaya, baru-baru ini. TERAJU akan genap setahun beroperasi 8 Februari ini.

Buat masa ini, unit itu menyandarkan kepada tiga inisiatif utamanya iaitu TERAS, Dana Mudahcara dan Dana Yayasan Peneraju Pendidikan. TERAJU juga membentuk 53 inisiatif kecil hasil daripada pelaksanaan makmal pembangunan Bumiputera tahun lalu, yang hampir separuh daripada inisiatif berkenaan mula dilaksanakan.

Mengenai perkembangan TERAS, Husni berkata, pihaknya telah menghantar senarai kumpulan pertama 30 syarikat Bumiputera dalam program itu kepada kumpulan berkepentingan yang dapat menyokong agenda menjadikannya kumpulan syarikat berdaya maju di peringkat domestik dan antara-bangsa.

Senarai syarikat itu, katanya, telah dihantar kepada bahagian pemerolehan di Kementerian Kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat senaraian awam utama negara, agensi yang mengendalikan dana pemudah cara serta kerajaan negeri.

Source : Berita Harian
Date : 23 January 2012

No comments: