Wednesday, January 25, 2012

Today's Pick (25/01/12/015/707) EKUINAS perluas sektor makanan, minuman

EKUINAS perluas sektor makanan, minuman

Ambil alih rangkaian restoran milik Revenue Valley

Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS), pengurus dana ekuiti persendirian milik kerajaan mengembangkan pelaburannya dalam sektor makanan dan minuman (F&B) dengan membeli 85.76 peratus kepentingan dalam Kumpulan Revenue Valley, sebuah syarikat F&B yang sedang pesat berkembang di Malaysia dan Singapura, membabitkan pelaburan RM64.7 juta.

Revenue Valley adalah pemilik dan pengurus rangkaian francais restoran Manhattan Fish Market, Tony Roma’s Malaysia dan Popeyes.


Dana persendirian itu dalam kenyataannya berkata, pelaburan itu adalah sebahagian strategi EKUINAS untuk membentuk sebuah Kumpulan F&B Malaysia terkemuka yang mempunyai portfolio jenama F&B tempatan dan global merangkumi semua segmen pasaran.

Katanya, pelaburan itu membabitkan pembelian ekuiti daripada pemegang saham sedia ada Revenue Valley, terutama Sweet Benefit Sdn Bhd dan Creative Goal Sdn Bhd, serta suntikan modal tambahan bagi membiayai program penambahan cawangan secara agresif.

Cadangan pelaburan itu adalah tertakluk kepada syarat terdahulu dan dijangka dimuktamadkan suku pertama 2012, katanya.

Manhattan Fish Market adalah restoran makanan laut kasual popular, manakala Tony Roma’s Malaysia ialah restoran layanan penuh (FSR) kasual yang terkenal dengan menu stik dan daging rusuk, sementara Popeyes adalah rangkaian restoran layanan pantas (QSR) yang menawarkan hidangan sajian ayam dan makanan laut yang beroperasi di Malaysia dan Singapura.

Revenue Valley ditubuhkan pada 2002 oleh usahawan George Ang dan Dickson Low, yang mana selepas kemasukan EKUINAS itu akan kekal dalam syarikat sebagai pemegang saham minoriti.

Ia berkembang pesat sehingga kini dengan 47 cawangan merangkumi ketiga-tiga jenama di Malaysia, Singapura dan Thailand, selain bakal memperkenalkan jenamanya ke seluruh rantau ini dan peringkat global.

Kumpulan terbabit mencatatkan jualan hampir RM100 juta bagi tahun kewangannya berakhir 30 September 2010.

Pengerusi EKUINAS Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda dalam kenyataan mengumumkan pelaburan itu berkata, menerusi pelaburan itu, EKUINAS sudah membuat lapan pelaburan setakat ini sekali gus memperluaskan portfolio F&B kepada lima jenama popular dengan jumlah jualan terkumpul mencecah hampir RM200 juta menerusi 97 cawangan seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand.

Setakat ini, katanya, jumlah komitmen pelaburan EKUINAS adalah sebanyak RM659.64 juta, selain membantu kemasukan modal menerusi rakan pelaburnya yang berjumlah RM779.28 juta ke dalam ekonomi Malaysia.

“Kami gembira dengan pelaburan di dalam Kumpulan Revenue Valley kerana ini dapat mengukuhkan lagi rancangan kami untuk membina sebuah kumpulan F&B ternama di Malaysia dengan portfolio pelaburan yang merangkumi pelbagai jenama.

“Dengan lebih 20 cawangan restoran di Singapura dan Thailand, Kumpulan Revenue Valley serta-merta menempatkan kami di pasaran serantau dan berupaya menjadi pemangkin bagi pelan perkembangan Kumpulan F&B EKUINAS pada masa depan,” katanya.

Raja Arshad berkata, pelaburan terbaru ini adalah susulan kepada pelaburan EKUINAS sebelum ini dalam rangkaian francais restoran makanan segera, Burger King dan San Francisco Coffee.

Sementara itu, Ketua Eksekutif EKUINAS, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, Kumpulan Revenue Valley adalah syarikat berpotensi tinggi dengan kumpulan pengurusan mantap selain mempunyai rekod prestasi kukuh dalam penjanaan pertumbuhan.

“Dengan memiliki lima jenama di bawah Kumpulan F&B kami, EKUINAS berpeluang memanfaatkan sinergi seluruh rangkaian dari segi perkembangan cawangan, pemasaran dan komunikasi, serta operasi pentadbiran,” katanya.


Source : Berita Harian
Date : 20 January 2012

No comments: