Thursday, January 12, 2012

Afternoon Highlihght (13/12/11/205/463) Sumbangan francais diunjur meningkat

Sumbangan francais diunjur meningkat

SUMBANGAN industri francais kepada kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disasarkan meningkat sehingga sekali ganda kepada 4.3 peratus menjelang 2016 daripada 2.2 peratus ketika ini. Pertumbuhan kukuh itu dijangka dicapai melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012-2016 yang bakal menetapkan hala tuju strategik membangunkan industri itu supaya ia berdaya saing serta mampu memanfaatkan penggiat industri francais negara.
Pelan yang akan dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 10 Januari depan itu menyasar pertambahan bilangan syarikat francais, peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan, sekali gus menyasar Malaysia sebagai pusat francais bagi rantau Asia Tenggara dan Asia Barat menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan yakin Malaysia mampu menjadi pusat francais di rantau ini kerana mempunyai peruntukan khusus untuk mengawal selia industri berkenaan. Beliau berkata, ketika ini, Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai akta khusus untuk francais iaitu Akta Francais 1998, mempunyai badan menyediakan pinjaman seperti Perbadanan Nasional Bhd (PNS) serta mempunyai akademi untuk melahirkan francaisor dan francaisi. Kami kini menggalakkan penggiat francais negara untuk berkembang dengan memasuki pasaran ASEAN terutama Indonesia, China dan Asia Barat, katanya dalam temubual di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini. Industri francais yang bertapak di negara ini pada awal 1990-an kini mempunyai kira-kira 573 francaisor yang berdaftar, peningkatan lebih 44 peratus berbanding 396 pada 2009 sejak diletakkan di bawah kementerian berkenaan. Dilaporkan kini terdapat sebanyak 5,315 francaisi di seluruh negara dengan 36 francaisor tempatan sudah berkembang ke 50 negara asing dengan Indonesia mempunyai francaisor tempatan teramai iaitu sebanyak 18 francaisor.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya juga kini giat menggalakkan perniagaan francais mikro bagi menarik orang ramai terutama di kawasan bandar kecil dan luar bandar membabitkan diri dalam perniagaan francais. Mulai bulan lalu, kementerian memulakan program francais mikro untuk menggalakkan orang ramai dalam perniagaan dengan modal di bawah RM50,000. Ketika ini, sudah ada 34 francaisor mikro yang akan dibangunkan untuk membantu mewujudkan lebih banyak francaisi dengan kementerian kini melaksanakan program komuniti francais di kawasan luar bandar dan bandar kecil untuk menggalakkan orang ramai menyertai perniagaan francais, katanya.
Sementara itu, perunding francais, Hasril Noordin, berkata landskap industri francais di Malaysia kini berkembang dengan pesat melalui sokongan padu kementerian sehingga berkembang di dalam dan luar negara. Beliau berkata, melalui bantuan pembiayaan mikro yang disediakan kerajaan, ia dapat mengembangkan industri dan peluang perniagaan kepada pihak francaisor dan francaisi. Saya yakin kerajaan dapat meningkatkan pembangunan kapasiti dan kapabiliti penggerak francais dan menjadikan industri francais sebagai salah satu enjin pembangunan negara, katanya
Source : Berita Harian
Date : 12 Disember 2011
Afternoon Highlihght (13/12/11/205/463)

No comments: