Friday, January 13, 2012

Afternoon Highlight (13/01/12/009/484) PKS: CIMB Bank yakin kekalkan pertumbuhan pinjaman

PKS: CIMB Bank yakin kekalkan pertumbuhan pinjaman

KUALA LUMPUR 12 Jan.- CIMB Bank Bhd. (CIMB Bank) menjangkakan pertumbuhan berterusan sebanyak dua digit dalam pemberian pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir bagaimanapun enggan mendedahkan sasaran sebenar pertumbuhan pinjaman segmen tersebut.

Tahun lalu, pinjaman PKS berkembang sekitar 13 hingga 14 peratus.

" Segmen ini mempunyai banyak ruang untuk tumbuh dan kami akan mengambil kesempatan daripadanya," kata beliau selepas majlis pelancaran BizLoyalty Program di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.

Menurut Sulaiman, CIMB Bank mempunyai 300,000 pelanggan PKS ketika ini dan ia dijangka meningkat kepada 350,000 menjelang hujung tahun ini.

Ini didorong oleh pelbagai usaha yang dijalankan bank tersebut antaranya menerusi pelancaran program BizLoyalty yang merupakan satu-satunya program kesetiaan kepada para pelanggan PKS di Malaysia bagi menyediakan mereka satu pusat sehenti penyelesaian untuk bertemu dengan pelbagai keperluan perniagaan.

Bagi menikmati keistimewaan program tersebut, pelanggan perlu membuka akaun semasa BizLoyalty yang hadir bersama kemudahan perbankan dalam talian, BizChannel.

Ia membantu PKS menguruskan transaksi akaun dan pembayaran gaji secara automatik.

Pelanggan akan memperolehi mata ganjaran bagi setiap transaksi yang dikenali sebagai BizPoints dan mereka boleh menebusnya bagi mendapatkan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh rakan-rakan program BizLoyalty.

Antaranya Telekom Malaysia, syarikat insurans Allianz, Touch 'n Go, Dell Malaysia, Canon dan Sage Software.

Source : Utusan Malaysia
Date : 13 January 2012
Afternoon Highlight (13/01/12/009/482)

No comments: