Thursday, January 12, 2012

Today's Pick (08/12/11/216/656) PKS: Microsoft beri komitmen RM20 juta komputer awan

PKS: Microsoft beri komitmen RM20 juta komputer awan

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Microsoft Malaysia hari ini mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM20.8 juta bagi menyediakan teknologi perkomputeran awan (cloud computing) kepada 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan tahun ini.
Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Ananth Lazarus berkata, penyediaan perkomputeran awan melalui Office 365 membolehkan PKS meningkatkan keupayaan perniagaan mereka merentas masa dan tempat.
Katanya, penyediaan pengkomputeran awan membolehkan PKS Malaysia merealisasikan kelebihan perniagaan dan kompetitif melalui penggunaan Microsof Office 365 untuk mereka cipta, edit, simpan dan kongsi idea dan kerja di dalam sistem itu.
"Kami amat komited untuk membantu PKS tempatan dan berhasrat untuk bekerja sama dengan SME Corp bagi meluaskan program ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan kerjasama itu di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim.
Pakej Office 365 yang ditawarkan kepada pelanggan SME Corp menggabungkan kekuatan aplikasi Office Web Apps dengan emel, dokumen kongsi, pesanan cepat, video dan persidangan web kelas perusahaan yang sentiasa disokong dan dikemaskini oleh Microsoft dengan harga RM19 sebulan.
Selain itu, Microsoft dan SME Corp akan mengadakan pelbagai kursus latihan serta mengadakan SME Helpdesk di ibu pejabat SME Corp untuk membantu PKS di dalam memahirkan penggunaan Office 365.
Menurut Lazarus, sebagai permulaan sebanyak 200 PKS pertama mendaftar untuk Office 365 melalui SME Corp akan menerima pakej Quick Start bertujuan memahirkan mereka menggunakan teknologi tersebut secepat mungkin.
Sementara itu, Hafsah berkata, kejayaan sesebuah PKS itu bergantung kepada daya kecekapan mereka mengguna pakai teknologi maklumat yang kini lebih efisien dan berdaya maju.
Beliau berkata, sebanyak 99.2 peratus perniagaan di Malaysia adalah berasaskan PKS di mana ia mewakili 56 peratus pekerja di Malaysia dan menghasilkan 32 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Hanya melalui teknologi maklumat PKS mampu mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara selain meningkatkan tahap kecekapan dan inovasi dalam bentuk cara mereka kerja," katanya.

Source : Utusan Malaysia
Date : 6 December 2011
Today's Pick (08/12/11/216/656)

No comments: