Friday, January 13, 2012

Today’s Pick (12/01/12/008/700) Lebih banyak peluang ditawar

Lebih banyak peluang ditawar

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Perdagangan di antara Malaysia dengan Arab Saudi dijangka kukuh pada tahun ini didorong oleh lebih banyak peluang-peluang perniagaan yang ditawarkan oleh negara Islam itu.

Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Amran Yem berkata, Arab Saudi mengalu-alukan kemasukan produk-produk seperti bahan pembinaan, makanan dan minuman, alat ganti kenderaan serta kosmetik dan barangan penjagaan kesihatan dari Malaysia.

Dari segi perkhidmatan pula, negara tersebut kekurangan kepakaran dalam bidang pengurusan kemudahan.

''Berurusniaga dengan orang Arab adalah berbeza kerana apabila mereka menyukai sesuatu produk, mereka akan mengulang tempahan dalam kuantiti yang sangat banyak.

''Ini adalah peluang keemasan kepada ahli perniagaan Malaysia, tetapi mereka perlu memastikan produk yang ditawarkan disukai oleh orang Arab di samping mempunyai kapasiti untuk memenuhi permintaan mereka," katanya semasa sidang akhbar Seminar Arab Saudi-Pasaran Yang Pesat Berkembang kepada syarikat-syarikat Malaysia di sini hari ini.

Arab Saudi merupakan rakan dagangan penting kepada Malaysia di kalangan rantau Timur Tengah dan ia menjadi rakan kedua terbesar selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 2010, perdagangan melibatkan kedua-dua hala meningkat sebanyak 37.7 peratus kepada RM9.32 bilion.

Bagi 10 bulan pertama 2011, arah aliran tersebut menunjukkan kenaikan dengan pengukuhan sebanyak 49 peratus kepada RM10.5 bilion berbanding tempoh yang sama 2010.

"Daripada angka-angka ini, kita dapat melihat terdapatnya potensi pertumbuhan dalam perdagangan dengan Arab Saudi, justeru, ahli-ahli perniagaan Malaysia perlu merebut peluang yang terbuka luas ini," tambah Amran lagi.

Beliau berkata, Arab Saudi baharu sahaja mengumumkan perbelanjaan terbesarnya bagi Belanjawan 2012 dengan memperuntukan sejumlah SAR690 bilion (RM 580.2 bilion).

Peruntukan besar itu bagi membangunkan sektor bukan minyak negara tersebut sekali gus membuka permintaan terhadap produk dan perkhidmatan asing dijangka turut meningkat.

Ini kerana pembekal tempatan tidak mempunyai kapasiti terutama dari segi pembinaan, minyak, gas dan petrokimia, penjagaan kesihatan, teknologi alam sekitar dan perkhidmatan.

Tambah Amran, setakat ini sudah ada 101 buah syarikat Malaysia yang telah berurusniaga di Arab Saudi dan angka tersebut dijangka meningkat pada tahun ini.

Source : Utusan Malaysia
Date : 11 January 2012
Today’s Pick (12/01/12/008/698)

No comments: