Friday, January 27, 2012

Today's Pick (26/01/12/016/708) Peluang usahawan wanita ke pasaran Greece

Peluang usahawan wanita ke pasaran Greece

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Sekali lagi Malaysia bakal membuka mata dunia dengan penyertaan yang lebih ramai di Sidang Kemuncak Wanita Global di Greece, yang akan berlangsung pada 31 Mei - 2 Jun 2012. Tahun ini merupakan kali ke-22 forum ekonomi global ini dianjurkan bagi menemukan tokoh serta pemimpin wanita daripada sektor awam dan swasta dalam pelbagai bidang dari seluruh dunia.

Dijangkakan lebih daripada 80 delegasi antarabangsa yang terdiri daripada usahawan wanita, profesional dan pemimpin- pemimpin kerajaan akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Wanita Global 2012 di Greece, dengan bertemakan Women: The Engine of Economic Growth
.

Pada tahun lepas, Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 telah diadakan pada 5 - 7 Mei 2011 di Istanbul, Turki. Malaysia dihadiri oleh seramai 64 delegasi yang diketuai oleh Datin Seri Paduka Rosmah Mansor. Satu sesi networking di antara usahawan wanita Malaysia dan usahawan wanita Turki turut diadakan dengan penglibatan seramai 35 usahawan wanita Malaysia dan 33 usahawan wanita Turki.

Sesi networking tersebut telah menjadi landasan pertama untuk usahawanita Malaysia dan Turki berkongsi pengalaman, amalan perniagaan terbaik serta maklumat mengenai petua-petua perniagaan terkini. Seramai 69 orang usahawanita telah menyertai sesi tersebut, 35 dari Malaysia dan 34 dari Turki.

Para usahawanita yang hadir dalam sesi tersebut adalah terdiri daripada usahawan wanita dari pelbagai sektor seperti pendidikan, pengiklanan dan media, kesihatan, teknologi maklumat dan tekstil. Maklumbalas daripada peserta menyatakan bahawa mereka berpeluang mengenali, berkongsi pengalaman serta bekerjasama dengan para usahawanita bukan sahaja dari Turki, tetapi juga di kalangan usahawanita Malaysia sendiri

Bagi tahun ini, persidangan berprestij ini akan menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang penganjurannya dan antara aktiviti yang disediakan dalam sidang kemuncak ini adalah termasuk Sesi Pra-persidangan meja bulat untuk Women Government Ministers berdialog dengan pemimpin-pemimpin korporat mengenai amalan terbaik di sektor awam/swasta dalam memajukan pertumbuhan ekonomi wanita.

Apa yang lebih menarik di persidangan ini adalah sesi plenari yang membincangkan mengenai arah aliran perniagaan serantau dan global serta strategi praktikal untuk pembangunan perniagaan. Terdapat juga sesi pembangunan Kemahiran yang menyentuh aspek pembangunan kepimpinan, keusahawanan dan isu-isu lain yang dihadapi oleh usahawan wanita abad ini. Peserta juga mempunyai peluang yang luas untuk mengadakan jaringan perniagaan dengan usahawan dari pelbagai negara.

Selain daripada itu, ia juga menawarkan perkongsian maklumat mengenai peluang perniagaan untuk memasuki ekonomi eropah serta bagaimana wanita memacukan pembangunan perniagaan di benua serantau sebagai pengguna dan pemimpin perniagaan. Terdapat juga perkongsian mengenai amalan terbaik di antara kerajaan dan perniagaan untuk memajukan wanita dan mengalakan 'inisiatif hijau' serta peluang menjalankan perniagaan di Greece dan Balkan.

Dengan menyertai sidang kemuncak ini, ianya dapat memberi pendedahan berkesan kepada usahawan wanita Malaysia untuk memupuk hubungan dengan usahawan dari negara lain. Di samping itu, peserta juga dapat mempelajari strategi kreatif, pendekatan terkini, kepakaran, pendapat dan idea dalam pelbagai bidang dengan kehadiran penceramah yang terdiri daripada pemimpin korporat antarabangsa.

Bagi tahun 2013, Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak ini. Adalah diharapkan agar Malaysia mampu membuktikan kepada delegasi antarabangsa bahawa Malaysia juga mempunyai pengalaman, kepakaran, prasarana dan kemudahan yang lengkap dalam mengendalikan acara sebegini sekaligus meningkatkan jenama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai Sidang Kemuncak Wanita Global 2012 di Greece, sila hubungi Cik Murniati Mokhtar di 03-27756000 atau email murniati@smecorp.gov.my

Source : Utusan Malaysia
Date : 26 January 2012

No comments: