Wednesday, January 30, 2013

Afternoon Highlight (21/01/13/13/71) RM210j bantu lonjak syarikat pertengahan


RM210j bantu lonjak syarikat pertengahan

KERAJAAN memperuntukkan RM210 juta untuk Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (PPSPP) bertujuan membantu meningkatkan daya saing syarikat bersaiz sederhana tempatan di peringkat antarabangsa.

Disertai 50 syarikat

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata program itu akan bermula tahun ini, dan buat permulaan sebanyak 50 syarikat akan dikenal pasti untuk menyertainya sebelum ditingkatkan secara berperingkat sehingga ia berakhir pada 2020.

Katanya, PPSPP yang akan dibiayai melalui kaedah perkongsian awam swasta dan adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara akan meliputi semua sektor, terutama pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, syarikat yang dikategorikan sebagai Syarikat Peringkat Pertengahan ialah yang mempunyai jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM500 juta.


Kerajaan beri sokongan

“Pelbagai sokongan, kemudahan dan perhatian Kerajaan sebelum ini lebih tertumpu kepada syarikat PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan kini tiba masanya Kerajaan turut memberikan perhatian kepada Syarikat Peringkat Pertengahan supaya mereka juga dapat berkembang dengan lebih berjaya di persada antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan perdana kementerian dan agensi berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

PPSPP akan diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang akan bekerjasama rapat dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Institut Automotif Malaysia (MAI).

Ketika ini ada 9,900 Syarikat Peringkat Pertengahan di negara ini. Jumlah itu mewakili kurang satu peratus daripada syarikat “Sendirian Berhad” yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Sumbang 30 peratus

Mustapa berkata, walaupun jumlahnya kecil, Syarikat Peringkat Pertengahan menyumbang sebanyak 30 peratus kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan 22 peratus kepada peluang pekerjaan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PPSPP selama lapan tahun itu, ia dijangka mewujudkan 130,000 peluang pekerjaan dengan 21,000 adalah pekerjaan berpendapatan tinggi, meningkatkan nilai eksport sebanyak RM6 bilion, meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM6 bilion dan pertambahan lebih RM500 juta dalam Pelaburan Terus dalam Negara (DDI) menjelang 2020.

“PPSPP ialah program pecutan atau “acceleration programme” dan ia adalah usaha berterusan Kerajaan untuk melonjakkan pertumbuhan Syarikat Peringkat Pertengahan di negara ini agar dapat menjadi juara serantau dan global,” katanya.

Source : Berita Harian
Date : 21 January 2013            
Afternoon Highlight (21/01/13/13/71)

No comments: