Friday, January 4, 2013

Afternoon Highlight (06/12/12/205/680) Usahawan Malaysia dipelawa ke Comoros

Usahawan Malaysia dipelawa ke Comoros

Comoros, negara kepulauan kecil di timur benua Afrika mempelawa syarikat Malaysia melabur dalam beberapa bidang yang berpotensi dikembangkan di negara itu.

Presidennya, Dr Ikililou Dhoinine, berkata selain sektor pertanian yang menjadi sumber utama ekonomi negaranya, Comoros berhasrat memajukan bidang pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui bersandarkan sumber sedia ada.

Justeru, katanya Comoros terbuka menerima sebarang bentuk pelaburan dalam bidang berkenaan yang boleh meningkatkan lagi kegiatan ekonomi di negara itu yang mempunyai kirakira 860,000 penduduk.

“Buat masa ini, belum ada syarikat Malaysia yang melabur di negara kami, mahupun syarikat yang menunjukkan minat untuk berbuat demikian.

Kami mengalualukan kehadiran syarikat Malaysia untuk melabur di Comoros,” katanya pada sidang media khas sempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke8 di sini, semalam.

Comoros, yang terletak di bahagian utara Selat Mozambique di luar pesisir Laut Hindi adalah negara ketiga terkecil di benua Afrika.

Sebanyak 98 peratus daripada penduduk negara kecil yang terdiri daripada empat buah pulau itu beragama Islam, manakala Arab dan Perancis adalah bahasa rasmi.

Kehadiran pemimpin dari negara yang merdeka dari Perancis pada 1975 itu adalah antara acara utama pada WIEF kali ini yang bermatlamat membantu meningkatkan tahap ekonominya yang juga antara yang termiskin di dunia.

Sidang media khas itu diadakan bagi membolehkan masyarakat mempelajari keadaan ekonomi Comoros di samping meninjau peluang menjalinkan kerjasama dengan negara lain, khususnya negara Islam.

Dhoinine berkata, syarikat yang berhasrat melabur di negara itu boleh menikmati pelbagai insentif yang ditetapkan di bawah Kod Pelaburan Comoros yang berkuat kuasa pada 2007.

“Syarikat yang membuat pelaburan bernilai sekurang-kurangnya 50 juta Comorian franc (RM400,000) akan menikmati pengecualian cukai selama lima tahun.

“Syarikat yang melabur sekurang-kurangnya 100 juta Comorian fanc (RM800,000) pula menikmati pengecualian cukai 10 tahun,” katanya.

Beliau menambah, Comoros juga baru menubuhkan sebuah suruhanjaya khas untuk melindungi kepentingan pelabur di negara itu.

Buat masa ini, Dhoinine berkata pelaburan terbesar yang diterima Comoros adalah daripada Qatar, kebanyakannya dalam sektor perikanan.

Source : Berita Harian
Date : 6 December 2012
Afternoon Highlight (06/12/12/205/680)

No comments: