Wednesday, January 23, 2013

Today's Pick (08/01/13/05/929) MyCreative agih RM200 juta

MyCreative agih RM200 juta


Johan Ishak, Ketua Eksekutif, MyCreative Ventures Sdn Bhd

Dana disalur dalam bentuk ekuiti, pinjaman kepada syarikat kreatif tempatan

Kuala Lumpur: MyCreative Ventures Sdn Bhd akan menyalurkan peruntukan Dana Mycreative kepada kumpulan pertama penerima seawal bulan depan.

Ia berikutan maklum balas memberangsangkan terhadap dana itu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada September lalu.

Proses penerimaan permohonan dan penilaian setakat ini berjalan sangat lancar. Justeru, kami menjangkakan 2013 akan menjadi tahun yang penting kepada industri kreatif Malaysia," Johan Ishak, Ketua Eksekutif, MyCreative Ventures Sdn Bhd

Anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan itu memperoleh mandat daripada kerajaan untuk mengagihkan peruntukan RM200 juta bagi menerajui pertumbuhan industri kreatif tempatan.

Dana itu akan diagihkan sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman kepada syarikat kreatif tempatan berdaya maju dalam lapan bidang iaitu seni visual, seni persembahan, muzik, kesusasteraan, kandungan kreatif, seni fesyen dan rekaan serta seni tradisional.

Terima 50 permohonan

Ketua Eksekutif, Johan Ishak, berkata dalam tempoh tiga bulan selepas dana itu dilancarkan, pihaknya menerima kira-kira 50 permohonan daripada penggiat industri kreatif tempatan yang mengendalikan syarikat untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata, daripada permohonan yang diterima, kira-kira separuh syarikat berkenaan sudah membuat pembentangan kertas kerja berhubung pelan perniagaan masing-masing.

“Kami sedang melakukan proses penilaian terperinci untuk tiga permohonan diterima. Ada pemohon sudah membuat pembentangan perlu datang sekali lagi untuk mengemukakan pelan lebih menyeluruh.

“Kini, ada satu permohonan sudah melepasi proses penilaian, namun ia hanya akan dimuktamadkan selepas Lembaga Pengarah MyCreative meluluskannya. Perkembangan lanjut mengenai penerima pertama itu mungkin dapat diketahui pada Februari ini,” katanya kepada BH.

Berdasarkan perangkaan terkini kerajaan, industri kreatif tempatan kini dianggarkan bernilai RM9.4 bilion serta menyumbang 1.27 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kembang industri kreatif

Angka itu bagaimanapun masih rendah berbanding beberapa negara lain yang mempunyai industri kreatif mantap seperti Kanada (7.4 peratus), Britain (6.4 peratus) dan Singapura (5.6 peratus).

Kerajaan berhasrat mengembangkan industri kreatif tempatan pada kadar 11 peratus setahun hingga 2020.

Johan berkata, jumlah permohonan memberangsangkan yang diterima setakat ini membuktikan penggiat seni kreatif tempatan memerlukan dana untuk mengangkat martabat industri berkenaan ke tahap lebih tinggi pada peringkat antarabangsa.

“Proses penerimaan permohonan dan penilaian setakat ini berjalan sangat lancar. Justeru kami menjangkakan 2013 akan menjadi tahun yang penting kepada industri kreatif Malaysia,” katanya.

Dana MyCreative sebahagian insentif kewangan serta geran disediakan kepada penggiat seni kreatif tempatan.

Antara dana yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Geran Industri Kreatif (RM120 juta) dan Dana Pembangunan Industri Kreatif (RM100 juta).

Permohonan untuk Dana MyCreative terbuka kepada syarikat tempatan berdaftar serta majoriti kepentingannya dimiliki rakyat tempatan.

Ia boleh dikemukakan menerusi laman web MyCreative Ventures di www.mycreative.com.my.

INFO: Industri kreatif, Malaysia
RM200 juta - dana pembangunan.
RM9.4 bilion - nilai industri.
1.27 peratus - sumbangan kepada nilai ekonomi.

Source : Berita Harian
Date : 7 January 2013
Today's Pick (08/01/13/05/929)

No comments: