Friday, January 4, 2013

Today's Pick (23/11/12/204/899) MAHB bina Mitsui Outlet Park KLIA



Kompleks Mitsui Outlet Park di Tokyo bakal dibina di KLIA dan dijangka siap pada 2014.

Malaysia Airports Bhd (MAHB) akan membina Mitsui Outlet Park KLIA, pusat beli-belah yang menempatkan pelbagai kedai barangan berjenama premium dunia terus dari kilang seluas 20 hektar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pusat beli-belah yang menyediakan kawasan boleh disewa sekitar 47,000 meter persegi itu akan dimajukannya dengan kerjasama Mitsui Fudosan Co Ltd dari Jepun.

Apabila siap sepenuhnya pada 2014 itu, ia bakal menjadi yang terbesar dalam rangkaian pusat beli-belah Mitsui.

Mitsui Outlet Park KLIA akan menawarkan pilihan meluas jenama terkemuka termasuk jenama mewah, kedai popular terpilih, fesyen Asia berkualiti tinggi, barangan sukan, aksesori fesyen dan cenderahati pada harga yang dijamin di bawah harga runcit dicadangkan.

Lebih 20 jenama pereka terkemuka antarabangsa akan dijemput berdasarkan kehadiran mereka dalam Mitsui Outlet Park di Jepun dan China, kata MAHB dalam satu kenyataan semalam.

Syarikat pengendali lapangan terbang itu berkata, memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama membangunkan taman beli-belah premium itu dimeterainya dengan Mitsui Fudosan semalam.

Pada majlis itu MAHB diwakili Pengurus Besar Kanannya, Muhamad Khair Mirza, manakala Mitsui Fudosan oleh Pegawai Pengurusannya, Masatoshi Satao. Ia disaksikan Pengarah Urusan MAB, Tan Sri Bashir Ahmad.

MAHB berkata, taman beli -belah itu akan dimajukan siap dengan kemudahan restoran dan hiburan berikutan komponen sokongannya disandarkan kepada tema daya tarikan Knowledge and Attractions, Prime Time Complex dan World Food Expo.

Mitsui Outlet Park KLIA, iaitu cawangan ke-14 bagi Mitsui dan yang pertama di Asia Tenggara akan dibangunkan dalam tiga fasa pada kos pembangunan kasar dianggarkan sekitar RM335 juta, katanya.

Pembangunan fasa pertama dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangkakan dibuka kepada umum akhir 2014.

Sebagai tambahan kepada jenama popular Eropah dan Amerika, taman beli belah itu juga akan menawarkan fesyen terkemuka Asia dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Malaysia, sekali gus membezakannya daripada pusat peruncitan lain di Malaysia berdasarkan kepelbagaian jenama, katanya.

Sementara itu, Bashir dalam kenyataan berkenaan berkata, satu daripada manfaat penting daripada projek itu ialah peluang bagi MAHB mengembangkan asas perniagaan bukan aeronautikal, sejajar hala tuju perniagaan 2010-2014 syarikat itu yang mana pembangunan komersial dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan dan keuntungannya.

Peluang ini bertujuan menjadi pemangkin bagi pembangunan KLIA Aeropolis dan akan merangsang keyakinan pelabur dan pemaju dalam potensi komersial tanah di KLIA. katanya.

Mitsui Fudosan ialah pemaju hartanah utama di Jepun yang ditubuhkan sejak 1941 dengan operasi global di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Singapura dan China. Antara aktiviti utamanya ialah membangunkan pusat beli belah, hotel dan kompleks pejabat.

Syarikat itu kini memiliki 13 pusat belah, 12 di Jepun dan sebuah di China, dengan cawangan pertamanya di Osaka, yang dibuka pada 1995.



Source : Berita Harian
Date : 23 November 2012
Today's Pick (23/11/12/204/899)

No comments: