Tuesday, January 29, 2013

Afternoon Highlight (14/01/13/08/706) Sime Darby tawar sukuk pelbagai mata wang

Sime Darby tawar sukuk pelbagai mata wang



Sime Darby Bhd muncul konglomerat Asia pertama yang menawarkan sukuk pelbagai mata wang selepas menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi terbitan bernilai AS$1.5 bilion itu.

Program sukuk itu adalah penanda aras penting, memandangkan ia program sukuk berbilang mata wang antarabangsa pertama Asia oleh korporat rantau ini di bawah prinsip syariah, ijarah.

Dalam kenyataannya semalam, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh (gambar), berkata syarikat bangga menjadi konglomerat Asia pertama yang melancarkan program sukuk berbilang mata wang itu.

“Ini mewakili komitmen berterusan Sime Darby untuk menyokong inisiatif dan usaha berterusan kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa,” katanya.

Sime Darby diberi penarafan korporat A, A dan A3 masing-masing oleh Standard & Poor’s Rating Services (S&P), Fitch Ratings Ltd serta Moody’s Investor Service, Inc.

Penarafan lebih tinggi

Penarafan itu lebih tinggi atau setanding penarafan berdaulat Malaysia pada A-/A-/A3 masing-masing oleh S&P, Fitch dan Moody’s.

Ia mencerminkan kedudukan Sime Darby sebagai satu daripada peserta perladangan terbesar dunia, portfolio perniagaannya yang pelbagai, saiz dan skala, trek rekod di samping profil kewangan yang mantap.

Program sukuk itu menyediakan Sime Darby keupayaan kewangan untuk memenuhi keperluan pembiayaan menuju ke depan, ketika ia mengembangkan portfolio perniagaannya ke peringkat global.

Sebagai tambahan kepada menjadi program berbilang mata wang, struktur yang mematuhi syariah itu akan membolehkan Sime Darby meraih kumpulan pelabur konvensional dan Islam lebih besar dari Asia, Timur Tengah dan Eropah.

Citigroup Global Markets Ltd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan Standard Chartered Bank adalah Pengatur Utama Bersama bagi Program Sukuk itu.

Sime Darby adalah satu konglomerat pelbagai negara yang beroperasi di lebih 20 negara yang mempunyai ibu pejabat yang berpangkalan di Malaysia.

Enam bahagian teras Kumpulan itu ialah perladangan, hartanah, peralatan perindustrian, permotoran, tenaga dan utiliti serta penjagaan kesihatan.

Sime Darby antara syarikat terbesar tersenarai di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran RM57.6 bilion sehingga 9 Januari 2013. Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012, kumpulan mencatat pendapatan RM47.6 bilion dan untung sebelum faedah dan cukai RM5.9 bilion.

Source : Berita Harian Date : 14 Januari 2013
Afternoon Highlight (14/01/13/08/706)

No comments: