Wednesday, January 23, 2013

Afternoon Highlight (04/01/13/03/701) Industri ICT negara mampu cecah RM55b

Industri ICT negara mampu cecah RM55b


Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) yakin industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini mampu mencecah pendapatan berjumlah RM55 bilion.

Pengerusi, Woon Tai Hai, berkata pihaknya menjangkakan pertumbuhan antara sembilan hingga 10 peratus dalam tahun 2012, justeru berdasarkan petanda awal ia sepatutnya sudah dapat dicapai.

“Tiga ciri aliran teknologi yang berlaku sepanjang tahun 2012 iaitu sistem awan, data yang besar serta mudah alih dilihat memberi kesan kepada industri.

Harapan positif

“Pelancaran pelbagai peranti oleh pengeluar memberikan harapan positif pada 2012 yang dilihat mencabar terutamanya kepada sektor runcit ICT.

“Dengan pelancaran Samsung Galaxy Note II, Microsoft Windows 8 dan Apple Iphone 5 yang baru, ia menyaksikan pembaharuan dorongan dan keyakinan bagi tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Woon berkata, ciri data besar dan perkomputeran awan disifatkan pakar teknologi sebagai cara yang perlu digunakan oleh perusahaan jika mereka mahu menjimatkan kos serta memahami keperluan pelanggan mereka dengan lebih mendalam.

“Bagaimanapun, di sebalik manfaat jelas yang boleh didapati dan kebolehan jalur lebar yang semakin bertambah, pelaksanaan sistem awan diselubungi satu kebimbangan utama iaitu mengenai aspek keselamatan.

“Kebanyakan syarikat masih lagi tidak meletakkan data mereka yang sensitif ke dalam sistem awan melainkan ia adalah awan peribadi. Masih ada banyak perkara untuk diteroka sebelum syarikat besar melaksanakan sistem berkenaan secara sepenuhnya,” katanya.

Peraturan baru

Tambahnya, tahun 2012 turut menyaksikan tiga undang-undang yang akan mempunyai kesan langsung kepada industri ICT iaitu Seksyen 114A Akta Keterangan, Akta Perlindungan Data Peribadi dan Rang Undang-undang Lembaga Jurukomputer Malaysia.

“Walaupun masing-masing mempunyai peranannya yang tersendiri, peraturan baru ini akan membawa industri ICT terus bergerak ke hadapan.

“Setiap satu daripada undang-undang itu mempunyai fasa perundingan dan pelaksanaannya yang tersendiri dan PIKOM memainkan peranan utama dalam mengemukakan pandangan industri kepada kerajaan.

“Justeru, PIKOM gembira kerana kerajaan mengambil berat akan pandangan yang diberi dan sentiasa berhubung dengan kami sepanjang tahun lalu. Kami berharap interaksi seumpama ini akan berterusan pada tahun ini,” katanya.


Source : Berita Harian
Date : 4 January 2013
Afternoon Highlight (04/01/13/03/701)

No comments: