Friday, January 4, 2013

Afternoon Highligt (22/11/12//197/672) PNB mahu buka bidaan jual syarikat

PNB mahu buka bidaan jual syarikat


Firma bukan teras akan dijual kepada Bumiputera

Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan membuka bidaan bagi penjualan sebuah lagi syarikat bukan terasnya kepada syarikat Bumiputera yang layak selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata syarikat itu agak besar saiznya jika dibandingkan dengan empat syarikat bukan teras yang diumumkan penjualannya oleh PNB sebelum ini.

Beliau berkata, ia adalah sebuah syarikat di bawah sebuah syarikat senaraian awam yang dikuasai PNB.

“Kami menjangkakan akan mengumumkan penjualan sebuah lagi syarikat bukan teras kepada Bumiputera yang layak sebelum akhir tahun ini. Syarikat itu agak besar, justeru proses kelulusannya mengambil masa,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) di Kuala Lumpur semalam.

PNB sebelum ini membuka bidaan bagi menjual empat syarikat bukan terasnya, iaitu U-Insurance Sdn Bhd, U-Travelwide Sdn Bhd (U-Travel), Inobel Sdn Bhd dan FEC Cables (M) Sdn Bhd (FEC) kepada Bumiputera yang layak.

Lupus pegangan

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa PNB dan Khazanah Nasional akan melupuskan pegangan dalam 10 syarikat yang bukan perniagaan teras masing-masing untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat.

Hamad Kama Piah juga berkata, PNB akan membuka semula bidaan bagi penjualan FEC Cables kerana pembina yang mengemukakan bidaan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan panel pemilih untuk mengambilalih syarikat itu.

Mercu tanda

Mengenai perkembangan terkini projek pembangunan Menara Warisan Merdeka, Hamad Kama Piah berkata pihaknya sedang memenuhi syarat dalam perintah pembangunan (DO) pembangunan menara mercu tanda itu yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan 20 tingkat daripada menara ikonik 100 tingkat itu untuk hotel dan 80 tingkat untuk ruang pejabat.

Mengenai kos pembinaan Menara Warisan Merdeka, Hamad Kama Piah, berkata setakat ini anggaran kosnya adalah sekitar RM5 bilion.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan meningkat berikutan peningkatan harga bahan binaan.

Cadangan pembangunan Menara Warisan Merdeka di kawasan berdekatan Stadium Merdeka dan Stadium Negara itu diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2010.

Mengikut perancangannya, ia bakal dimajukan dalam tiga fasa dan dijangkakan siap pada 2015

Source : Berita Harian
Date : 21 November 2012
Afternoon Highligt (22/11/12//197/672)

No comments: