Wednesday, January 30, 2013

Afternoon Highlight (17/01/13/11/709) Peluang labur di Arab Saudi


Peluang labur di Arab Saudi
Pelbagai insentif disedia tarik pelabur tempatan, asing

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa ahli perniagaan Malaysia untuk meneroka pasaran Arab Saudi yang sedang berkembang pesat dan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih 60 peratus daripada anggota Negara Kerjasama Teluk (GCC).
MATRADE berkata, dalam usaha mencipta lebih banyak persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, Kerajaan Arab Saudi menerusi agensinya, Pihak Berkuasa Pelaburan Umum Arab Saudi (SAGIA) dan Pihak Berkuasa Hartanah Perindustrian Arab Saudi (MODON) menawarkan pelbagai insentif untuk pelaburan tempatan dan asing di negara berkenaan.

Katanya, insentif terbaru yang diumumkan termasuk tawaran kepada pelabur asing 100 peratus pemilikan hartanah, kadar sewa yang kompetitif bagi tanah perindustrian, tarif kuasa yang kompetitif serta dana eksport.


Tembusi pasaran Arab

“Peluang yang banyak juga tersedia untuk syarikat Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi menerusi Rancangan Pembangunan Lima Tahun (2010-2014) ke-9 dengan peruntukan sebanyak AS$385.1 bilion (RM1.162 trilion).
“Rancangan itu membabitkan projek daripada pelbagai sektor dengan tumpuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, meningkatkan pengambilan pekerja, pembangunan ekonomi di seluruh rantau dan meningkatkan daya saing ekonomi kerajaan,” kata MATRADE dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Mengikut agensi itu, antara projek pembangunan utama yang dijalankan syarikat Malaysia di Arab Saudi termasuk Universiti Al-Faisal di Riyadh, Universiti Sains & Teknologi King Abdullah di Thuwal, projek menaik taraf Jambatan Jamarat dan kawasan sekitarnya di Mina, pembinaan Menara Kingdom di Riyadh, pembangunan perbandaran Bandar Ekonomi Jazan dan projek pembangunan Jabal Omar di Makkah.

“Kejayaan terbaru syarikat Malaysia adalah dalam eksport lampu dan kelengkapan syarikat di Arab Saudi bernilai RM21 juta dan menerima jemputan daripada entiti kerajaan untuk terbabit dalam projek mercu tanda di negara berkenaan.

Perluas kepakaran

“Dalam sektor perkhidmatan, syarikat Malaysia berpeluang meluaskan kepakaran mereka di Arab Saudi dalam pengurusan dan latihan sumber manusia; pengurusan dan operasi hotel; teknologi komunikasi dan maklumat; pengurusan kemudahan bersepadu, perkhidmatan seni bina, pengurusan projek, perkhidmatan kejuruteraan, perbankan Islam dan teknologi hijau,” katanya.

Pada 2011, dagangan dua hala Malaysia dengan Arab Saudi meningkat hampir empat kali ganda daripada AS$955.1 juta (RM2.883 bilion) pada 2000 kepada AS$3.79 bilion (RM11.44 bilion), jelas agensi itu.

Eksport utama Malaysia ke Arab Saudi adalah produk elektrik dan elektronik; barangan logam perkilangan, peralatan pengangkutan, peralatan jentera, alat ganti dan bahan kimia serta keluaran kimia.

Sumber: Berita Harian
Tarikh  : 17 Jan 2013      
Afternoon Highlight (17/01/13/11/709)

No comments: