Friday, January 11, 2013

Afternoon Highlight (21/12/12/218/693)MYEG perkenal khidmat baru

MYEG perkenal khidmat baru


Kuala Lumpur: MY EG Services Bhd (MYEG), pengendali portal aplikasi kerajaan elektronik (e-kerajaan) menyasar untuk memperoleh lebih banyak projek bagi pelaksanaan perkhidmatan e-kerajaan tahun depan dan berikutnya.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Norraesah Mohamad, berkata antara perkhidmatan yang akan diperkenalkan MYEG tahun depan ialah Sistem Pemantauan Cukai Dalam Talian dan penambahbaikan perkhidmatan sedia ada membabitkan pembaharuan permit pekerja asing.

“Kedua-dua pihak MYEG dan kerajaan sedang memperincikan sistem cukai itu, yang menurut perkiraan kami akan diperkenalkan pada suku pertama tahun depan, manakala pembaharuan permit pekerjaan asing pula akan dikembangkan kepada sektor lain selain pembantu rumah.

Perkhidmatan baru

“Kami juga sedang berunding dengan beberapa agensi kerajaan lain bagi memperkenalkan beberapa perkhidmatan baru, tetapi adalah terlalu awal untuk didedahkan buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Berhubung cadangan pengembangan operasi ke Kazakhstan, Norraesah berkata kemajuannya sedikit perlahan berikutan pihaknya masih belum menerima perincian perkhidmatan e-kerajaan yang dikehendaki atau diperlukan oleh kerajaan negara itu.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, TS Wong, berkata MYEG memperuntukkan perbelanjaan modal bernilai RM60 juta bagi memperkenalkan dua perkhidmatan baru itu tahun depan.

Perbelanjaan modal itu katanya, tidak akan menjejaskan dasar pengagihan dividen 30 peratus daripada keuntungan bersih syarikat.

Beliau berkata, kerajaan dijangka mempercepatkan inisiatif sistem penyampaian perkhidmatan awam negara secara dalam talian, dan ini akan memberikan kesan positif kepada MYEG.

Kerajaan menyasarkan 90 peratus sistem penyampaian perkhidmatan awam negara menyediakan aplikasi secara dalam talian untuk kemudahan rakyat menjelang 2015.

Pada masa ini 35 peratus sistem penyampaian perkhidmatan awam negara menyediakan aplikasi dalam talian seperti portal rasmi kerajaan, myGovernment, selain MYEG.

MYEG mencatat kadar pertumbuhan tahunan dicampurkan sebanyak 32.3 peratus bagi pendapatan dan 31.1 peratus bagi keuntungan bersihnya untuk tempoh lima tahun 2007-2012.

Kadar pertumbuhan tahunan asetnya untuk tempoh itu turut berkembang mantap pada 31.2 peratus untuk mencecah nilai RM149.969 juta.

MYEG mencatat keuntungan bersih RM6.504 juta pada suku kewangan pertama berakhir 30 September 2012, kenaikan 17 peratus berbanding RM5.376 juta suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat 13 peratus kepada RM16.062 juta daripada RM14.192 juta.


Source : Berita Harian
Date : 21 December 2012
Afternoon Highlight (21/12/12/218/693)

No comments: