Thursday, January 3, 2013

Afternoon Highlight (16/10/12/178/653) Sektor perkhidmatan mampu sasar RM78b

Sektor perkhidmatan mampu sasar RM78b

Kuala Lumpur: Sektor perkhidmatan disasarkan mampu menyumbang RM78 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata daripada nilai itu, 30 peratus hingga 40 peratus disumbangkan bidang berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk sektor penyumberan luar dan perkhidmatan perkongsian (SSO).

“SSO ialah perkhidmatan sampingan sesebuah perniagaan yang mana syarikat antarabangsa boleh membuka pusat panggilan pelanggan di Malaysia untuk mengendalikan aduan atau pertanyaan daripada seluruh dunia untuk menjimatkan kos operasi mereka.

Pusat perkhidmatan

Malaysia termasuk antara tiga negara terbaik dunia selepas India dan China dalam sektor SSO justeru ia petanda kukuh status Malaysia sebagai pusat pembangunan SSO.

“Kemudahan struktur fizikal yang lengkap terutama talian internet antara faktor banyak syarikat antarabangsa memilih membuka pusat perkhidmatan perkongsian di negara ini,” katanya selepas merasmikan program Smart Sourcing Summit 2012, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Outsourcing Malaysia, David Wong.

Sektor perkhidmatan termasuk di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang menjadi tumpuan kerajaan untuk mengukuhkan taraf ekonomi Malaysia.

Subramaniam berkata, kerajaan amat menggalakkan syarikat tempatan dan antarabangsa membuka pusat perkhidmatan perkongsian di negara ini.

“Setakat ini lebih 200 syarikat antarabangsa dan 60 syarikat tempatan terbabit dalam bidang itu.

Rangka semula strategi

“Persaingan dalam bidang itu sangat kuat dan semua syarikat di negara ini wajib mengkaji semula strategi perniagaan masing-masing untuk memastikan mereka mencapai tahap syarikat bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, antara syarikat tempatan yang terbabit dalam SSO adalah Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd (Strand Aerospace), menawarkan perkhidmatan kejuruteraan pesawat untuk syarikat antarabangsa termasuk Airbus.

“Syarikat kejuruteraan perubatan berpangkalan di Belgium pula membuka syarikat cawangan di Petaling Jaya bagi memanfaatkan bakat rantau Asia menghasilkan rekaan peralatan terbaru bidang itu,” katanya.

Source : Berita Harian
Date : 12 October 2012
Afternoon Highlight (16/10/12/178/653)

No comments: