Thursday, January 3, 2013

Afternoon Highlight (08/11/12/191/666) DPMM anjur rundingan

DPMM anjur rundingan


Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), akan menganjurkan Rundingan Meja Bulat 1 Malaysia membabitkan semua dewan dan persatuan perniagaan peringkat nasional di negara ini.

Presidennya, Datuk Syed Ali Alattas, berkata ia bagi membincangkan serta mendapatkan maklum balas daripada rumusan resolusi Kongres Ekonomi Melayu 2012 yang diadakan Yayasan Kajian dan Pembangunan (YKPD) DPMM bulan lalu.

Pertemuan penting

Beliau berkata, rundingan meja bulat itu satu pertemuan penting bagi membincangkan pelbagai isu yang dibangkitkan pada kongres berkenaan terutama membabitkan hala tuju perjuangan usahawan Melayu.

Selain itu, ia akan turut menumpukan kepada isu mengenai hilangnya peranan serta hala tuju agensi kerajaan yang dikatakan sudah tidak relevan lagi dalam membantu membangunkan masyarakat usahawan.

“YKPD DPMM menjangkakan Rundingan Meja Bulat 1 Malaysia yang diadakan pada Februari tahun depan itu bakal disertai 88 perwakilan termasuk Dewan Perniagaan Cina dan India serta Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bagi membincangkan isu dibangkitkan pada Kongres Ekonomi Melayu 2012.

“Pertemuan ini juga bagi memberi penjelasan kepada salah faham banyak pihak yang menyifatkan DPMM ‘masih pandang ke belakang’ menerusi rumusan resolusi kami baru-baru ini.

Cari langkah penyelesaian

“Malah, kami bersama dewan perniagaan yang lain akan mengkaji rumusan berkenaan dengan harapan mencari langkah penyelesaian terbaik,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau turut mengharapkan kerajaan memberikan arahan yang jelas kepada agensinya dalam memastikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dijalankan dengan lebih berkesan.

Antara resolusi yang akan diberikan tumpuan pada persidangan meja bulat itu termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikatakan tidak lagi mempunyai agenda Melayu terutama PETRONAS, Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) serta agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd yang perlu diperkasakan semula peranan perjuangannya.

Isu lain ialah mengenai hak dan keupayaan orang Melayu dalam sektor hartanah dan premis perniagaan di kawasan bandar yang kurang daripada tiga peratus.

Dalam pada itu, Syed Ali berkata, DPMM juga akan mengadakan Kongres Ekonomi Melayu pada peringkat negeri yang dibuat mengikut zon bermula Januari tahun depan, susulan kejayaan Kongres Ekonomi Melayu 2012.

Pameran bergerak

Katanya, ia termasuk penganjuran pameran bergerak dan penerangan bagi memberi kesedaran kepada usahawan Melayu berhubung perjuangan kongres serta kempen mengajak rakyat melabur dalam Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Bhd.

Beliau berkata, bermula Januari tahun depan, DPMM juga meningkatkan pertemuan dan perbincangannya dengan agensi kerajaan yang dikenal pasti iaitu Khazanah, MARA, UDA dan PNB dalam usaha terus memelihara kepentingan usahawan Melayu.

Katanya, ia termasuk membincangkan sektor strategik yang boleh disertai oleh usahawan Melayu serta perkara lain yang boleh meningkatkan lagi kedudukan usahawan Melayu dalam pasaran.


Source : Berita Harian
Date : 7 November 2012
Afternoon Highlight (08/11/12/191/666)







No comments: