Thursday, January 3, 2013

Afternoon Highlight (09/11/12/192/667) Malaysia berpotensi jadi jenama utama

Malaysia berpotensi jadi jenama utama


Kita dalam kumpulan 15 negara sedang menyinar

Malaysia disenaraikan sebagai negara berpotensi besar berkembang dan mampu muncul antara tiga jenama negara utama dunia pada masa depan, bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Chile.

Ini meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan berkenaan.

Mengikut laporan Indeks Jenama Negara Tahunan (CBI) FutureBrand yang dikeluarkan semalam, Switzerland kini adalah jenama negara paling utama di dunia, diikuti Kanada, Jepun, Sweden dan New Zealand.

Malaysia berada di kedudukan ketujuh di kalangan negara Asia Pasifik dalam laporan itu, sementara secara keseluruhannya, negara ini di senaraikan di kedudukan ke-36.

Dalam laporan indeks edisi kelapan itu, FutureBrand menyatakan Malaysia yang kini berada dalam ‘kumpulan 15 negara sedang menyinar’, memiliki prospek paling tinggi untuk berkembang sebagai jenama negara paling utama dunia.

Prospek tinggi

Di bawah ‘kumpulan 15 negara sedang menyinar’ berkenaan, indeks itu menyenaraikan UAE, Chile, Malaysia, Qatar dan Estonia sebagai lima negara yang memiliki prospek tinggi untuk menggantikan Switzerland, Kanada, Jepun, Sweden dan New Zealand sebagai lima jenama negara paling utama di dunia sekarang.

Ketua Eksekutif FutureBrand Asia Tenggara, Sarah Reiter berkata, penilaian itu dibuat bersandarkan kepada perkembangan positif hasil pelaksanaan transformasi yang dilaksanakan kerajaan dalam bidang tadbir urus, modal insan, pertumbuhan ekonomi, daya tahan dan kemampanan sistem ekonomi, pengaruh dan pelaburan.

“Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang progresif disokong sistem kawal selia terbaik, dan pada masa sama mengamalkan toleransi agama dan sosial, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang cepat meningkat.

“Paling menarik sekali ialah apabila bercakap mengenai reformasi ekonomi, pelaburan dan modal insan, Malaysia wajar menjadi sebuah negara yang boleh dijadikan contoh untuk diikuti,” katanya dalam taklimat media mengenai laporan terbaru CBI itu semalam.

CBI ialah satu kaji selidik global yang menilai dan membuat kajian mendalam ke atas 118 negara di dunia.

Ia membuat kajian dengan meneroka kerumitan, dinamik dan manfaat bagaimana sesebuah negara itu boleh muncul sebagai satu jenama dan dikenali di seluruh dunia.

Hubungan komersial

Kekuatan jenama sesebuah negara itu diukur dan ditentukan dengan cara yang sama seperti mana-mana jenama lain iaitu dari segi tahap kesedaran umum di kalangan komuniti awam dan perniagaan global, kebiasaan, keutamaan, pertimbangan, advokasi, dan keputusan aktif untuk melawat atau mewujudkan hubungan komersial dengan negara berkenaan.

Reiter berkata, dalam laporan CBI terkini itu, Malaysia sebagai jenama negara, jelas bergerak dalam arah yang betul dengan mencatatkan peningkatan tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-43 tahun lalu.

Katanya, antara penyumbang utama kepada peningkatan itu ialah faktor kebebasan politik yang mencatatkan peningkatan 39 anak tangga ke-35 berbanding 74 sebelumnya; persekitaran alam sekitar (meningkat 36 anak tangga ke-24); kestabilan persekitaran perundangan (meningkat 20 anak tangga ke-38); pendidikan (meningkat 27 anak tangga ke-29) dan peluang pekerjaan (meningkat 16 anak tangga ke-24).

Faktor penyumbang lain termasuk persekitaran pengawal seliaan pasaran (meningkat 18 anak tangga ke-28); sejarah (meningkat 34 anak tangga ke-49); aspek ketulenan (meningkat 48 anak tangga ke-41); keindahan semula jadi (meningkat 27 anak tangga ke-47) dan daya tarikan (meningkat 31 anak tangga ke-26).

Source : Berita Harian
Date : 8 November 2012
Afternoon Highlight (09/11/12/192/667)

No comments: