Thursday, January 3, 2013

afternoon highlight (05/10/12/171/646) Pembiayaan IP beri manfaat syarikat ICT

Pembiayaan IP beri manfaat syarikat ICT


Kuala Lumpur: Skim Dana Pembiayaan Harta Intelek sebanyak RM200 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2013, bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1,600 syarikat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) tempatan.

Menerusi dana itu, ia membolehkan syarikat ICT mencagar harta intelek (IP) milik mereka bagi memperoleh pembiayaan, langkah yang kali pertama pernah diperkenalkan di Malaysia.

Kelegaan kepada syarikat

Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali, berkata dana yang diminta oleh pihaknya sejak tahun lalu itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh syarikat ICT berteraskan IP merangkumi multimedia, permainan, aplikasi, animasi dan perisian.

Katanya, ia memberi kelegaan kepada syarikat berkenaan yang sebelum ini mengalami kesukaran untuk memperoleh pembiayaan, terutama daripada bank yang tidak mengiktiraf IP untuk dijadikan cagaran kerana tidak boleh ditentukan nilainya.

Ia katanya berbeza dengan syarikat ICT yang terbabit dalam pengeluaran produk ICT kerana boleh menjadikan kilang atau mesin sebagai cagaran untuk meraih pembiayaan.

Bank biasanya akan meminta syarikat ini supaya mencagarkan harta milik mereka seperti kediaman atau kenderaan jika mahu menerima pembiayaan.

Ia sudah tentu membebankan mereka kerana terpaksa mengambil risiko dengan menggadaikan aset penting menyebabkan terpaksa menolak syarat yang dikenakan bank itu, katanya ketika dihubungi kelmarin.

Rancakkan industri IP

Badlisham berkata, sehubungan itu dengan pengenalan dana ini akan membolehkan usahawan IP mengembangkan perniagaan serta merancakkan lagi industri ini.

Saya yakin ia juga akan menggalakkan lebih banyak syarikat atau individu untuk terbabit dalam pembangunan aplikasi bagi telefon pintar.

Disamping itu, ia akan turut membuka laluan kepada institusi kewangan tempatan untuk memperkenalkan kemudahan pembiayaan seperti skim ini, katanya.

Peruntukan RM19j

Skim itu akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures Bhd dengan kerajaan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus dan jaminan 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd bagi membolehkan syarikat ICT menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM19 juta bagi program latihan penilai IP tempatan turut diperkenalkan dan dikendalikan oleh Perbadanan Harta Intelek yang akan menyaksikan kewujudan platform pasaran IP.

Rebat RM200

Dalam pada itu, Badlisham berkata insentif pemberian rebat RM200 kepada belia berusia antara 21-30 tahun berpendapatan di bawah RM3,000 bagi pembelian telefon pintar 3G dianggap langkah terbaik bagi menggalakkan lebih ramai golongan itu memiliki peranti berkenaan.

Ia yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta pengguna juga mampu menarik minat golongan ini untuk terbabit dalam pembangunan aplikasi bagi kegunaan telefon pintar, katanya.

Source : Berita Harian
Date : 1 October 2012

afternoon highlight (05/10/12/171/646)

No comments: