Tuesday, June 5, 2012

Today's Pick (24/05/12/089/783) Ekonomi negara berkembang 4.7 peratus


Ekonomi negara berkembang 4.7 peratus

Pencapaian suku pertama tahun ini melepasi jangkaan hasil permintaan domestik kukuh

EKONOMI Malaysia berkembang 4.7 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun sektor eksport adalah lebih perlahan berikutan persekitaran ekonomi dunia yang lembap.

Pencapaian suku pertama itu meletakkan negara ini pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus yang ditetapkan kerajaan bagi seluruh tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pertumbuhan pada suku pertama yang melepasi jangkaan itu dicatatkan di tengah-tengah penurunan eksport bersih negara sebanyak 20.8 peratus berbanding setahun lalu.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pertumbuhan pada suku pertama yang melepasi jangkaan itu dicatatkan di tengah-tengah penurunan eksport bersih negara sebanyak 20.8 peratus berbanding setahun lalu.

“Bagi ekonomi Malaysia, permintaan domestik dijangka kekal kukuh, disokong pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi sektor swasta serta perbelanjaan sektor awam,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Permintaan domestik kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun ini apabila berkembang sebanyak 9.6 peratus.

Pertumbuhan perbelanjaan swasta kekal kukuh pada 7.4 peratus, disokong khususnya oleh peningkatan pendapatan berterusan dan keadaan pasaran pekerjaan yang stabil serta dikukuhkan lagi oleh harga komoditi yang tinggi.

Ia juga disokong oleh sentimen pengguna yang semakin bertambah baik serta pemberian bantuan kewangan menerusi beberapa program sokongan pendapatan oleh kerajaan.



Sementara itu, perbelanjaan awam dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini meningkat 5.9 peratus dalam keadaan pengembangan berterusan dalam perbelanjaan emolumen serta bekalan dan perkhidmatan.

Zeti berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini kekal pada lingkungan empat hingga lima peratus selepas mengambil kira persekitaran ekonomi luar.

“Jika persekitaran luar semakin merosot, kita jangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang di paras sekitar empat peratus, tetapi jika keadaannya berterusan seperti sekarang ia diunjur berkembang 4.5 peratus dan jika keadaan lebih baik, maka ekonomi negara mampu berkembang sehingga lima peratus,” katanya sambil menambah tinjauan untuk suku kedua dijangka sama seperti suku pertama lalu.

Beliau berkata, kadar dasar semalaman (OPR) yang dikekalkan pada tiga peratus dalam suku pertama mencerminkan keadaan monetari semasa yang terus menyokong kegiatan ekonomi negara.

“Kadar inflasi utama dijangka lebih sederhana tahun ini, namun risiko peningkatan inflasi yang berpunca daripada gangguan bekalan, khususnya bahan bakar dan komoditi masih kekal.

“Begitupun, permintaan domestik akan terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam keadaan persekitaran luar yang tidak menentu ini.

“Melainkan berlaku perkembangan besar yang boleh mengakibatkan kesan buruk, maka kadar faedah semasa akan kekal,” katanya.

Kadar inflasi negara susut daripada 3.2 peratus pada suku keempat tahun lalu kepada 2.3 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Zeti turut menegaskan bahawa Malaysia memiliki jumlah kecairan serta kadar simpanan tinggi yang boleh membantu menyerap sebarang tekanan dari luar.

Ini diperkukuhkan lagi oleh tebaran hutang negara yang mana 96 peratus adalah dari domestik dengan hanya empat peratus saja adalah dari sumber luar, iaitu mewakili sekitar dua peratus kepada nilai KDNK.

“Justeru, kita tidak mempunyai pendedahan yang besar seperti negara lain,” katanya.

Source : Berita Harian                  Date : 24 May 2012
Today's Pick (24/05/12/089/783)






No comments: