Thursday, June 14, 2012

Today's Pick (12/06/12/104/798) Tujuh ekspo sasar jualan RM100 juta


Tujuh ekspo sasar jualan RM100 juta
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan jualan sehingga RM100 juta sepanjang penganjuran tujuh siri Ekspo Beli Barangan Malaysia 2012 yang bermula semalam.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Datin Mahani Tan Abdullah, berkata sasaran hampir sekali ganda berbanding jualan tahun lalu itu susulan penyertaan syarikat tempatan dengan pelbagai rangkaian produk selain pembabitan syarikat multinasional yang meninjau peluang padanan perniagaan menerusi ekspo itu.
 
“Ekspo kali ini berbeza kerana ada pembabitan syarikat multinasional dan dewan perniagaan yang turut serta bagi mencari padanan perniagaan dengan syarikat tempatan yang berskala kecil.
 
“Tahun lalu, ekspo yang sama hanya membabitkan beberapa kedutaan luar negara di Malaysia yang juga bertindak mencari syarikat berpotensi untuk bekerjasama,” katanya kepada Berita Harian selepas perasmian Ekspo Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan, di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim serta Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kassim.

Ekspo Beli Barangan Malaysia pertama tahun ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula semalam hingga Ahad ini itu, disertai hampir 200 pempamer di 70 tapak pameran dengan tema ‘Inovasi Buatan 1Malaysia Bertaraf Dunia’.
Enam lagi ekspo sama akan diadakan di Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perak.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, penganjuran ekspo itu bertujuan mengetengahkan produk inovatif dalam bidang permotoran, teknologi hijau, aplikasi kenderaan, pakaian, makanan, hiburan, penerbitan, pendidikan dan perkhidmatan.
“Ekspo ini memberi ruang dan peluang kepada peserta industri tempatan menjalankan perniagaan serta mendapatkan pasaran baru sama ada di peringkat domestik atau global,” katanya.

Mengenai kepentingan penggunaan logo buatan Malaysia bagi produk tempatan, beliau berkata, logo yang bertindak sebagai pengesahan negara pengeluar adalah kriteria utama yang dinilai sebelum sesuatu produk memasuki pasaran negara lain.
Di negara ASEAN, katanya, pengesahan penandaan logo itu dapat memberi insentif dari segi pengecualian tarif cukai di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) oleh negara pengimport.
 
source : Berita Harian
Date : 11 June 2012
Today's Pick (12/06/12/104/798)

No comments: