Friday, July 5, 2013

Today's Pick (02/07/13/1016/1041) Wanita mampu lahirkan usahawan berjaya

Wanita mampu lahirkan usahawan berjaya


Pengarah Urusan Lunatots, Siti Nursuraya memperkatakan mengenai ‘Cabaran Bisness Online dan Impak dalam Perniagaan

KUALA LUMPUR - Kuasa wanita bukan sahaja mampu membentuk peribadi anak-anak mereka malah melahirkan generasi yang berpotensi tinggi khususnya dalam bidang keusahawanan.

Ungkapan itu dizahirkan sendiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang berkongsi rahsia kejayaan beliau dalam bidang penerbitan diceburi lebih 30 tahun.

"Wanita khususnya seorang ibu mampu membaca naluri dan mengenal pasti potensi diri anak-anak mereka.

"Pendidikan awal dari rumah juga menjadi penyumbang kepada kejayaan seseorang individu," katanya yang berkongsi rahsia itu di hadapan 400 orang peserta Konvensyen Inspirasi Usahawan anjuran Mingguan Wanita sempena ulang tahun majalah itu yang ke-30 tahun.

Beliau berkata, mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu kreatif dan bijak memanfaatkan peluang.

"Jangan jadikan masalah itu satu bebanan tetapi jadikan situasi itu sebagai peluang untuk kita rangka sesuatu yang lebih baik," katanya.

Tambah beliau, setiap individu yang mahu bergelar usahawan perlu menyiapkan diri dengan ilmu yang cukup dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Menurut Editor Pengurusan Majalah Karangkraf, Liza Ali, konvensyen itu buat julung kalinya diadakan sebagai tanda penghargaan kepada wanita Malaysia khususnya pembaca Mingguan Wanita.

"Matlamat utama adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing dan akan sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia perniagaan hari ini.

"Konvensyen ini juga adalah sebagai satu usaha Mingguan Wanita bagi berkongsi informasi dan memberi bimbingan melalui perkongsian ilmu keusahawanan," katanya.

Konvensyen kali ini membawa lima panelis yang terdiri daripada usahawan hebat dan berjaya malah bergelar jutawan ini sebagai menghargai sokongan pembaca yang sentiasa menjadikan majalah Mingguan Wanita sebagai bahan bacaan utama.

Sejak 2000, Mingguan Wanita diketuai oleh Nuri Supian selaku editor.

Antara panel hebat yang dibawa khas ialah Pengarah Urusan Richworks Resources Sdn Bhd, Dr Azizan Osman; Pengarah Urusan Hajaba dan Leesa Formula, Mona Din; Pengarah Urusan D'Navechee, Datuk Dr Azlina Che Abdullah dan Pengarah Lunatots, Siti Nursuraya Mohamed Ali.

Pada segmen perkongsian maklumat Mingguan Wanita menampilkan Timbalan Pengurus Unit Keusahawanan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Noornazreen Ab Ghani dan Pengurus Korporat Teknologi Park

Malaysia, Aniz Adura Abdul Majid yang berkongsi maklumat mengenai peluang yang boleh dimanfaatkan usahawan.

Melalui paparan artikel Mingguan Wanita telah berjaya mencetuskan semangat usahawan dan secara tidak langsung telah melahirkan ramai usahawan baru yang berjaya.

Selain itu, bertujuan membangkitkan semangat wanita-wanita yang ingin memulakan perniagaan.

Konvensyen ini juga menjadi platform bagi membangunkan idea perniagaan dalam memilih perniagaan yang tepat dan sesuai serta mempunyai permintaan yang tinggi.

Antara topik yang dikupas adalah mengenai asas keusahawanan yang tepat, pemilihan perniagaan mengikut landasan, pengendalian kewangan dan panduan pemasaran melalui perkongsian pengalaman serta pengetahuan.

Source : Sinar Harian
Date : 30 June 2013
Today's Pick (02/07/13/1016/1041) 

No comments: