Friday, July 26, 2013

Selepas Imsak (25/07/13/133/1058) Dagang Malaysia-Thailand tumbuh dua angka

Dagang Malaysia-Thailand tumbuh dua angka


KUALA LUMPUR 24 Julai - Majlis Perniagaan Malaysia-Thailand menjangka perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat sebanyak dua angka apabila Komuniti Ekonomi Asean (AEC) dilaksanakan menjelang 2015.

Pengerusi Bersama, Megat Mizan Nicholas Denney, berkata pelaksanaan AEC akan menyaksikan pergerakan barangan yang lebih bebas merentasi sempadan dan kerjasama lebih erat antara syarikat kedua-dua negara.

"Kegiatan rentas sempadan antara kedua-dua negara akan meningkat terutamanya dalam sektor automotif dan pertanian," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Sokongan Perniagaan AEC di sini hari ini oleh Duta Thailand ke Malaysia, Krit Kraichitti.

Megat Mizan berkata, usahawan Malaysia digalakkan untuk meneroka pasaran Thailand bagi memperkenalkan industri halal, dengan memanfaatkan industri pembuatan makanan yang kukuh, dan menyediakan perkhidmatan pengedaran halal.

Tahun lepas, perdagangan dua hala Malaysia-Thailand berjumlah AS$25 bilion (RM79.7 bilion) manakala bagi lima bulan pertama tahun ini, ia berjumlah AS$10.16 bilion (RM32.4 bilion).

Sementara itu, mengenai pusat perniagaan itu, Kraichitti berkata, ia ditubuhkan untuk mempermudahkan usahawan Thailand yang ingin menjalankan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, pusat perniagaan itu akan ditempatkan di setiap kedutaan Thailand di rantau ASEAN untuk membantu usahawan Thailand mencari dan memanfaatkan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan dalam ASEAN, yang penduduknya melebihi 600 juta orang.

Source : Utusan Melayu
Date: 24 July 2013
Selepas Imsak (25/07/13/133/1058)



No comments: