Friday, July 19, 2013

Selepas Imsak (19/07/13/129/1054) Malaysia Yakin AEC Boleh Direalisasikan Menjelang 2015, Kata Mustapa

Malaysia Yakin AEC Boleh Direalisasikan Menjelang 2015, Kata Mustapa


PETALING JAYA, 18 Julai (Bernama) -- Malaysia yakin Komuniti Ekonomi Asean (AEC) boleh direalisasikan menjelang 2015 memandangkan 80 peratus daripada tindakan yang diputuskan sudah pun dilaksanakan oleh negara anggota.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dalam kes Malaysia, 88 peratus daripada langkah-langkah itu sudah dilaksanakan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Forum Kepimpinan Asean ke-10, Mustapa berkata usahawan Malaysia sudah bersiap-sedia, terutama dalam langkah-langkah pembangunan kapasiti bagi meningkatkan daya tahan.

Beliau berkata pembangunan kapasiti sangat penting berikutan syarikat besar mudah menerima pakainya, namun beberapa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merasakan tekanannya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Mustapa berkata syarikat Malaysia memperoleh manfaat daripada penyepaduan ekonomi Asean apabila dapat meluaskan operasi mereka di negara Asean lain.

Syarikat seperti Maybank, AirAsia, CIMB, Sime Darby, Petronas dan Ingress Auto Ventures adakah antara contoh syarikat yang sangat aktif di rantau ini.

"Begitu juga syarikat dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina yang telah meningkatkan pelaburan masing-masing di Malaysia. Apa yang saya mahu lihat ialah penyertaan lebih banyak PKS," katanya.

Mustapa berkata terdapat banyak bidang ekonomi yang mempunyai kadar kejayaan penyepaduan yang sangat baik.

Dari segi asas pasaran tunggal dan pengeluaran, Asean sudah memansuhkan tarif, meliberalisasikan dagangan dan perkhidmatan dan menghapuskan sekatan ke atas pelaburan, katanya.

"Usaha sedang dilakukan untuk mengukuhkan penyepaduan pasaran kewangan. Kemajuan dalam inisiatif mewujudkan pasaran penerbangan tunggal, pasaran membeli-belah tinggal dan sektor rentas sempadan, sangat menggalakkan," kata Mustapa.

Dalam konteks meningkatkan lagi penyepaduan, Mustapa berkata dua kajian Pasca AEC 2015 sedang dilaksanakan.

"Satu kajian sedang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Asean dan Asia Timur dan satu lagi oleh Rajaratnam School of International Studies, Singapura dan Institut Kajian Asia Tenggara.

"Kajian ini sedang dilakukan bagi memudahkan Asean meningkatkan inisiatif penyepaduan ekonomi Pasca 2015. Kajian ini akan memberikan input bermakna kepada Asean dalam meningkatkan lagi kedudukannya sebagai rantau ekonomi yang kompetitif," kata Mustapa

Date : 18 July 2013
Source : BERNAMA



No comments: