Friday, July 26, 2013

Selepas Imsak (23/07/13/131/1056) Jualan gudang meriahkan Putrajaya Jumaat ini

Jualan gudang meriahkan Putrajaya Jumaat ini


PUTRAJAYA - Festival Ramadan Putrajaya di perkarangan Kompleks PPj di sini yang menawarkan pelbagai kelengkapan Aidilfitri dijangka bertambah rancak dengan jualan barangan dari kilang dan konsert kerohanian pada Jumaat ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (Ppj) Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata aktiviti jualan itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Katanya pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sejak minggu pertama puasa telah mendapat sambutan hebat daripada orang ramai dan sasaran menarik lebih 100,000 pengunjung ke festival itu dijangka dapat dicapai.

Beliau berkata sebanyak 240 gerai jualan menyertai festival yang menampilkan pelbagai persiapan dan keperluan Hari Raya, dengan ada yang menawarkan diskaun jualan sehingga 70 peratus.

"Di samping itu gerai-gerai untuk berbuka puasa di sini menawarkan pelbagai jenis juadah dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak seperti Laksa, Nasi Kerabu dan banyak lagi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya kerusi dan meja berkonsepkan kafe jalanan turut disediakan di sepanjang laluan pejalan kaki di Kompleks PPj sehingga ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MMTZA), untuk kemudahan berbuka puasa.

Tengku Aina berkata kehadiran jemaah di MMTZA juga amat menggalakkan di mana kira-kira 15,000 jemaah menunaikan solat Terawih setiap malam di masjid itu bermula sejak hari pertama puasa lagi.

"MMTZA juga menyediakan antara 1,500 hingga 2,000 juadah berbuka puasa secara percuma di masjid serta pihak kami turut mengedarkan kurma dan air zam-zam secara percuma," tambahnya.

Tengku Aina berkata konsert kerohanian Jumaat ini akan diserikan dengan kehadiran artis popular dari Indonesia iaitu Habib Sheikh AsSegaf dan Opick, dan beliau menjangkakan antara 10,000 dan 20,000 pengunjung akan hadir ke konsert itu.

Program lain disediakan pada festival Ramadan ini ialah pameran lukisan, pameran seni khat, jualan buku Islam, demonstrasi masakan, serta persembahan nasyid dan alunan zikir oleh Hafiz Hamidon, Raihan, In Team, Mirwana, Maulid dan Brothers.

"Kami percaya sasaran jumlah kunjungan akan tercapai, menerusi pelbagai tawaran menarik yang disediakan di festival itu, di samping kemudahan tempat meletak kereta yang mencukupi disediakan," kata Tengku Aina.

Date: 22 Julai 2013
Source: Sinar Harian
Selepas Imsak (23/07/13/131/1056)


No comments: