Friday, July 26, 2013

Chup Iftar (26/07/13/127/805) 88 projek terima dana GTFS RM1.2 bilion

88 projek terima dana GTFS RM1.2 bilion


Sebahagian besar pembiayaan babit industri tenaga boleh diperbaharui

Sebanyak 88 projek sudah meraih manfaat daripada Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) sepanjang tempoh 2010 sehingga 31 Mei 2013 membabitkan pembiayaan berjumlah RM1.2 bilion.

Ketua Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Ahmad Hadri Haris, berkata bagi tahun ini setakat 31 Mei, sebanyak 11 projek diluluskan untuk menerima pembiayaan berjumlah sekitar RM135 juta di bawah skim itu, manakala 31 projek lagi disahkan layak untuk menerimanya.

Berbanding 2012, jumlah pinjaman diluluskan tahun ini jauh lebih rendah berikutan beberapa faktor seperti kesibukan persediaan Pilihanraya Umum Ke-13.” Ahmad Hadri Haris, Ketua Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation

Beliau berkata, sebahagian besar daripada projek yang diluluskan itu adalah membabitkan industri penjanaan tenaga boleh diperbaharui, khususnya berkaitan solar panel.

Tahun lalu katanya, adalah yang paling aktif dengan menyaksikan 44 projek diluluskan membabitkan pembiayaan berjumlah RM509 juta, sementara 102 projek lagi disahkan layak.

“Berbanding 2012, jumlah pinjaman yang diluluskan pada tahun ini jauh lebih rendah berikutan beberapa faktor seperti kesibukan persediaan Pilihanraya Umum Ke-13.

“Bagaimanapun kami yakin ia akan kembali bergerak pada kadar sebenarnya,” katanya dalam satu temu bual di Bangi, semalam.

Mengikut laman web GreenTech Malaysia, institusi kewangan paling aktif mengambil bahagian dalam GTFS ialah Bank Pembangunan dan Maybank yang masing-masing membiayai 11 projek; OCBC (9); SME Bank (7); AmBank, Affin dan StanChart masing-masing dengan enam projek.

Dalam pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan tambahan bagi GTFS sebanyak RM2 bilion dengan tempoh penawaran pembiayaan dilanjutkan sehingga 2015.

Tambahan RM2 bilion

Setakat semalam, pembiayaan sebanyak RM1.357 bilion sudah diluluskan dan masih terdapat baki RM2.142 bilion yang belum dimanfaatkan pengusaha industri.

Saiz pembiayaan bagi skim itu ialah sehingga RM50 juta bagi setiap syarikat dengan tempoh pembayaran balik sehingga 15 tahun.

GreenTech Malaysia adalah syarikat milik kerajaan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA dengan matlamat utama sebagai pemangkin ke arah mencapai agenda hijau negara.

Ahmad Hadri berkata, bagi menggalakkan pelaksanaan teknologi hijau, GreenTech Malaysia akan menumpu kepada lima bidang utama iaitu program kesedaran dan promosi; pembangunan keupayaan dan kecekapan; pembangunan infrastruk-tur dan penambahbaikan pasaran; pembangunan industri dan pemindahan teknologi; serta dasar dan mekanisma pembiayaan.

Rangsang pertumbuhan

GreenTech Malaysia katanya, sudah menggerakkan pelbagai program bagi merangsang pertumbuhan dan pembabitan pelbagai pihak bagi menjayakan inisiatif hijau itu, antaranya perbandaran hijau; pelabelan hijau; pemerolehan hijau; pelan induk teknologi hijau; dan pelan induk kenderaan elektrik.

“Tujuan pelaksanaan program itu antaranya bertujuan mengurangkan pembebasan karbon, membawa masuk pelaburan, sekali gus meningkatkan pendapatan kasar negara, selain dapat menambah pekerja yang berpengetahuan dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Source : Berita Harian
Date :26 July 2013
Chup Iftar (26/07/13/127/805)

No comments: