Friday, July 19, 2013

Chup Iftar (17/07/13/120/798)Survival kereta jenama Malaysia

Survival kereta jenama Malaysia


Proton Saga SV kereta termurah di Asean pada harga RM33,438. Foto: BERNAMA

DILEMA. Mungkin itu dihadapi kerajaan kini mengenai industri automotif negara.

Rakyat mula meminta pasaran kereta dibuka sepenuhnya atau cukai eksais kereta luar dikurangkan.

Keterujaan pengguna untuk dapatkan kereta dengan harga rendah terbukti apabila jualan keseluruhan industri bagi Mei tahun ini jatuh 15 peratus berbanding tahun lalu.

Ini disebabkan sikap tunggu dan lihat pengguna yang menjangkakan harga kereta akan turun mendadak selepas pilihan raya, berdasarkan manifesto parti-parti politik.

Kerajaan pula melihat isu harga kereta dari sudut kebajikan 250,000 rakyat yang bekerja dalam sektor pengeluaran automotif negara dan 300,000 pekerja di sektor selepas jualan yang dikhuatiri terjejas jika pasaran dibuka sepenuhnya.

Mungkin mahu mencari keseimbangan, kerajaan berjanji menurunkan harga kereta secara berperingkat sehingga 30 peratus menjelang 2016.

Adakah janji ini akan membawa kepada kepupusan jenama kereta Malaysia?

Dalam tinjauan di Sinar Harian Online baru-baru ini, 87 peratus daripada hampir 4,000 pengundi mahu membeli kereta import jika harganya turun 30 peratus.

Minggu lalu, Honda Malaysia pula memperkenalkan unit pemasangan tempatan (CKD) Honda Jazz terbaru pada harga RM74,800, iaitu paling rendah pernah ditawarkan syarikat itu di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Yoichiro Ueno berkata, kos rendah itu dicapai dengan menggunakan lebih banyak barang ganti tempatan.

Adakah ini bermakna barangan tempatan semakin berkualiti dan berdaya saing?

Proton, Perodua yakin boleh bersaing

Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) Sdn Bhd, Datuk Aminar Rashid Salleh yakin dan bersedia dengan persaingan akan datang.

Menurutnya, Perodua telah berjaya menurunkan kos pembuatan sebanyak 12 peratus dalam tempoh dua tahun sehingga akhir tahun lalu.

“Sasaran kami adalah penurunan kos 30 peratus menjelang 2016,” katanya.

Perodua juga mempunyai rancangan lebih besar bagi menghadapi penurunan harga kereta yang tidak dapat dielakkan, iaitu dengan menumpukan kepada pasaran eksport.

“Pasaran domestik akan sampai tahap tepu pada 2020 jadi kami akan fokus kepada eksport. Kami yakin dapat tembusi Asean kerana cita rasa dan keperluan pengguna hampir sama rantau ini,” katanya.

Perodua yang mengamalkan kontrak terbuka dalam pembekalan barangan turut meminta vendor tempatan supaya lebih berdaya saing.

“Kami tidak lupa dasar automotif negara adalah untuk memperkasa sektor sokongan (yang terdiri daripada peniaga tempatan),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Proton Holdings Bhd Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata, syarikat itu sentiasa merancang dan mencari jalan mengurangkan kos serta dalam masa sama meningkatkan kualiti dan aspek keselamatan kenderaan keluarannya.

Proton memperkenalkan model baru, Proton Saga SV iaitu kereta berkuasa 1,300 cc paling murah di Asean, pada harga RM33,438, bulan lalu.

“Saga SV antara usaha Proton untuk terus memberi kereta mampu milik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Turun harga kereta tak boleh mendadak

Bagi penganalisis, langkah kerajaan menurunkan harga kereta secara berperingkat dan pengenalan Dasar Automotif Baru (NAP) dijangka diumumkan tahun ini akan memberi kesan positif kepada negara.

"Penurunan cukai import dan cukai jualan dijangka tidak akan dibuat secara drastik kerana akan menyebabkan kesan buruk seperti pengurangan mendadak nilai kereta terpakai. Penjual kereta terpakai akan dibebani kerugian besar," menurut Kenanga Research.

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank Bhd Daniel Wong dalam laporan industrinya bulan ini berkata, kejayaan program pengurangan kos Proton dan Perodua akan menyokong jenama nasional mendapatkan semula bahagian pasaran serta kualiti diperbaiki.

"Tapi pengguna masih tunggu pengumuman NAP yang akan beri gambaran jelas mengenai komitmen kerajaan terhadap pembangunan industri automotif dan harga kereta," katanya.

Persoalannya, bolehkah kerajaan wujudkan satu mekanisme yang memberi rakyat kereta lebih murah tanpa jejaskan pengeluar dan rangkaian peniaga yang terlibat dalam pembuatan kereta nasional?


Source : Sinar Harian
Date : 17 July 2013
Chup Iftar (17/07/13/120/798)

No comments: