Friday, July 19, 2013

Chup Iftar (11/07/13/116/794)Pelabur Malaysia Digesa Rebut Peluang Perniagaan Di Kazakhstan

Pelabur Malaysia Digesa Rebut Peluang Perniagaan Di Kazakhstan


ASTANA (Kazakhstan), 11 Julai (Bernama) -- Para pelabur Malaysia perlu merebut peluang perniagaan di Kazakhstan, khususnya di dalam bidang hospitaliti, perbankan dan perkhidmatan pengangkutan, kerana sektor berkenaan masih baharu.

Duta Malaysia ke Kazakhstan Datuk Ahmad Rasidi Hazizi berkata rakyat Kazakhstan adalah kaya dan negara itu, yang mendapat kemerdekaan 21 tahun lepas, masih belum mendapat perkhidmatan yang canggih dan terselaras di dalam sektor berkenaan.

"Jadi, kita masih berpeluang kerana kita mempunyai bank seperti Bank Islam dan Lembaga Tabung Haji yang memenuhi keperluan orang Islam...kita juga boleh memenuhi keperluan sektor pengangkutan seperti pembinaan jalan raya, kereta api dan pembinaan."

"Adalah baik untuk mengkaji penerokaan bidang tersebut kerana mereka mempunyai wang untuk dibelanjakan dan jika tidak, pelabur (negara) lain akan merebut peluang itu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini baru-baru ini.

Para wartawan berkenaan berada di negara itu kerana melakukan lawatan media khas bagi memenuhi jemputan kerajaan Republik Kazakhstan bersempena perayaan Hari Astana, yang menandakan ulang tahun ke-15 ibu negara tersebut, yang diwujudkan pada 6 Julai.

Ahmad Rasidi berkata negara itu sentiasa berharap mendapat peluang perkhidmatan yang baik dari negara-negara lain dan dengan itu, Malaysia boleh menjadi pemain besar kerana kedua-dua negara mempunyai regim ekonomi yang fleksibel.

"Negara itu kini berkembang sangat pantas di segi ekonomi dan kita perlu bertindak segera kerana jika tidak kita akan ketinggalan," katanya.

Selain bidang berkenaan, katanya pelabur Malaysia juga boleh meraih dan meneroka ke dalam bidang pelancongan perubatan, yang mendapat promosi kukuh di Kazakhstan kerana negara itu masih belum memiliki satu perkhidmatan perubatan yang kukuh bagi rakyatnya.

"Pada masa ini, mereka akan mendapatkan perkhidmatan perubatan terbaik di Eropah dan juga Thailand. Jadi, kita sedang berusaha mengajak mereka datang ke Malaysia kerana saya merasakan kita berada satu langkah di hadapan Thailand."

"Saya pasti kita dapat mempromosikan pelancongan perubatan kepada mereka," katanya di Rumah Malaysia.

Tambahan pula, Ahmad Rasidi berkata beberapa doktor dari Institut Jantung Negara (IJN) telah melakukan lapan pembedahan utama di Presidential Hospital di sini dan sehubungan itu, Malaysia mudah meyakinkan mereka.

Di segi pelancongan, beliau percaya kerajaan Kazakhstan akan melakukan banyak promosi mengenai negara itu agar rakyat Malaysia memahami keistimewaan negara itu.

"Mereka berpotensi di segi pelancongan, terutama sekali di Almaty (bekas ibu negara Kazakhstan) tetapi mereka tidak berupaya meneroka dan menggunakan potensi itu sepenuhnya."

"Kita boleh memainkan peranan untuk membina satu perkongsian dengan mereka dan pada masa yang sama, kita perlu memastikan Malaysia menyedari mengenai potensi berkenaan," katanya.

Sehingga kini, katanya bilangan pelancong Malaysia ke Kazakhstan masih sedikit dan kebanyakan mereka berada di sini kerana melakukan urusan rasmi.

Beliau percaya sebabnya adalah kerana regim visa dan kekurangan kesedaran mengenai Kazakhstan.

"Kita mesti faham bahawa walau pun Kazakhstan merupakan negara kedua paling miskin di kalangan Negara Bebas Komanwel (CIS) selepas ia mendapatkan kemerdekaan, mereka kini adalah negara kedua paling kaya."

"Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan dua hala yang memberikan manfaat dengan Kazakhstan," katanya.

Source : BERNAMA
DATE : 11 July 2013
Chup Iftar (11/07/13/116/794)





No comments: