Friday, July 26, 2013

Chup Iftar (22/07/13/123/801) Usahawan Islam mampu jadi gergasi ekonomi

Usahawan Islam mampu jadi gergasi ekonomi


MUAR - Usahawan Islam negara ini mampu menjadi kuasa gergasi ekonomi dunia jika mereka berkeupayaan mengeluarkan makanan dan produk halal yang boleh menampung keperluan umat Islam di peringkat global.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata pasaran makanan dan produk halal dunia begitu besar, melebihi RM3 trilion yang membuka peluang besar untuk direbut usahawan Islam di negara ini.

"Tahun lepas Malaysia mengeksport produk halal bernilai RM35 bilion, menyumbang empat peratus kepada pendapatan keluaran dalam negara (KDNK). Oleh itu saya menyeru lebih ramai usahawan Islam menjadi pembekal kepada produk halal," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan Hari Raya kepada 200 orang golongan tidak bernasib baik, di masjid Parit Bunga, Ledang di sini petang semalam anjuran Perbadanan Kemajuan Halal Malaysia (HDC).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Seri Jamil Bidin.

Hamim berkata pelbagai usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran produk halal, yang antara lain, meliputi makanan dan barangan kosmetik, untuk umat Islam di seluruh dunia.

Usahawan di negara ini katanya, bernasib baik memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mengeluarkan sijil halal yang diiktiraf oleh negara Islam yang lain.

"Kita satu-satunya negara yang mengeluarkan sijil halal, di negara lain, sijil halal dikeluarkan oleh badan-badan bukan kerajaan seperti jawatankuasa masjid dan badan yang mewakili umat Islam setempat," katanya.

Date: 22 Julai 2013
Source : Sinar Harian
Chup Iftar (22/07/13/123/801)

No comments: