Monday, June 17, 2013

Today's Pick (27/05/13/90/1015)Kurang Pendedahan ICT

Kurang Pendedahan ICT


Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia masih dianggap rendah sedangkan ia adalah antara medium yang paling mudah untuk menjana keuntungan dan berhubung dengan pelanggan atau bakal pelanggan.

Menurut kaji selidik yang dijalankan mengenai penggunaan ICT dalam PKS baru-baru ini, 90 peratus daripada mereka tidak menggunakan ICT dalam operasi masing-masing. Ini merangkumi operasi syarikat masih menggunakan cara tradisional yang lazimnya menggunakan kertas dengan kos lebih tinggi.

70 peratus PKS juga masih tidak mempunyai laman web mereka sendiri dan ini secara tidak langsung membayangkan perkembangan kurang baik untuk PKS apabila kehadiran secara dalam talian penting untuk pertumbuhan jualan mereka.

Penggunaan ICT untuk operasi PKS penting untuk membantu operasi lebih berkesan khususnya dalam mengawal pelbagai aliran keluar masuk perniagaan sepanjang masa.

Kajian dijalankan Bank Dunia di 56 negara termasuk Malaysia mendapati semua syarikat yang menggunapakai ICT menunjukkan pertumbuhan baik dalam operasi secara keseluruhan.

Bergantung kepada jenis perniagaan dijalankan, ada syarikat mencatatkan peningkatan jualan sehingga 80 peratus dan ada syarikat yang mengurangkan kos operasi 50 peratus.

Malah, ada syarikat yang menunjukkan peningkatan dari aspek kepuasan pelanggan dan penghantaran produk kepada pelanggan mereka dengan lebih berkesan.

Hasil kajian menunjukkan pelanggan dalam talian memilih perkhidmatan dalam talian untuk menjimatkan masa, membantu mereka mendapat kepelbagaian produk, mudah untuk membandingkan harga dan mereka tidak perlu pergi ke pusat membeli-belah yang biasanya sesak dan seterusnya menjimatkan petrol.

Majoriti juga mengatakan mereka mendapat harga yang lebih rendah dalam talian.

Di Asia, kita mempunyai lebih daripada 1.07 bilion pengguna Internet bersamaan satu daripada empat penduduk Asia adalah pengguna Internet. Kira-kira 83 peratus pengguna dalam talian telah melakukan sekurang-kurangnya satu pembelian Internet.

Menurut kajian FactFinder, pengguna Internet di Malaysia menghabiskan 20 jam seminggu dalam talian berbanding 40 jam waktu bekerja rasmi dalam seminggu. Ini adalah hampir 50 peratus daripada jumlah jam kerja rasmi.

Mesejnya jelas menunjukkan mana-mana PKS yang tidak mempunyai strategi dalam talian akan kehilangan jumlah pelanggan yang sangat besar dari Internet.

Di Malaysia, usahawan PKS menjalankan operasi di kawasan bandar menunjukkan penggunaan ICT yang baik, namun apabila dilihat dari lokasi luar bandar, penggunaan ICT bukan sesuatu yang lazim.

Masih banyak syarikat PKS yang tidak mempunyai laman web rasmi sebagai identiti korporat mereka. Antara isu yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah usahawan ini tidak mendapat pendedahan sewajarnya mengenai ICT sedangkan mereka sebenarnya mahu mengguna pakai ICT dalam menguruskan syarikat.

Sesi penerangan secara bersemuka perlu dilakukan lebih kerap bagi menyuntik keinginan mereka dalam penggunaan ICT.

Sehubungan itu, inisiatif ‘PKS Untuk Pertumbuhan’ yang dijalankan Persatuan Usahawan Tekno Malaysia (TeAM) satu daripada platform untuk usahawan berkongsi pengalaman mereka membina perusahaan berjaya.

Seminar itu bermula dengan pemahaman mengenai bagaimana nilai unik perniagaan membantu sesebuah perniagaan berkembang sehingga menjadi jenama terkemuka.

Ia juga antara lain membantu usahawan meningkatkan operasi melalui penggunaan ICT dan bagaimana teknologi Cloud membolehkan usahawan mengawal syarikat mereka pada bila-bila masa di mana saja dengan mudah dan pada kos yang sangat berpatutan.

Usahawan yang berhasrat menggunakan ICT untuk perniagaan mereka tidak perlu bimbang mengenai pelaburan tambahan yang perlu dikeluarkan kerana kerajaan memberikan sokongan kepada PKS dengan menyediakan insentif dan sokongan untuk mereka dalam pelbagai bentuk.

Baru-baru ini kerajaan melancarkan inisiatif Dapatkan Perniagaan Online Malaysia (GMBO) di mana PKS digalakkan membina kehadiran dalam talian mereka selain kedai secara tradisi. Inisiatif GMBO adalah inisiatif geran apabila kerajaan menyediakan geran RM1,000 bagi PKS yang membina laman web sendiri.

Satu lagi geran bagi penggunaan perkomputeran cloud apabila usahawan digalakkan menggunakan aplikasi berasaskan itu bagi menguruskan syarikat mereka seperti perakaunan, gaji atau sumber manusia.

Penulis adalah Presiden Persatuan Usahawan Tekno Malaysia (TeAM)

Sumber : Harian Metro
Tarikh: 2013/05/27
Today's Pick (27/05/13/90/1015)







No comments: