Monday, June 17, 2013

Afternoon Highlight (13/06/13/101/799) Wanita perlu langkau geografi

Wanita perlu langkau geografi


KUALA LUMPUR 9 Jun - Tiada cara lain untuk menjadi usahawan yang berjaya dan bertahan pada hari ini kecuali dengan mengembangkan pasaran berasakan geografi, demikian menurut dua pengeksport wanita yang berjaya.

Pengurus Besar Megam Capital dari Sepanyol, Maria Eugenia Giron berkata, dari sebuah negara yang kecil, beliau tidak mempunyai cara lain untuk mengembangkan perniagaannya kecuali mengeksport.

Giron, yang juga Pengarah Eksekutif IE Business School Premium and Prestige Business Observatory berkata, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif mana-mana perniagaan, seseorang itu perlu bermula dengan melihat dunia sebagai sasaran.

"Semua jenama yang saya bekerjasama, pasaran utama bukan negara asal mereka.

"Membeli-belah masa kini membabitkan emosi pengguna dan hubungan. Rangkaian sosial telah mengubah segala-galanya.

"Jika Facebook adalah sebuah negara, ia akan menjadi pasaran kedua terbesar selepas China," katanya pada sesi Menjejak Keusahawanan pada Sidang Kemuncak Wanita Global 2013 di sini, semalam.

Sidang kemuncak tiga hari itu berakhir semalam.

Giron mempunyai lebih 18 tahun pengalaman dalam perniagaan barang mewah, antaranya jenama Loewe, Carrera y Carrera, Silvercloud dan Le Chameau.

Beliau berkata, selain mengintegrasikan budaya pasaran, rundingan untuk faedah kedua-dua pihak dan mendapatkan nasihat undang-undang melalui komunikasi adalah suatu yang penting.

"Berkomunikasi dalam setiap cara yang boleh supaya orang merasakan anda berada di sana," katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan Malaysia, Hooi Lai Lin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ken-Rich Chemical Production Sdn. Bhd. berkata, meskipun usahawan secara semula jadinya mahu berkembang dekat dengan tempat asal, seseorang itu tidak boleh memandang rendah mengenai kepentingan tingkah laku pengguna.

"Risikan pasaran adalah amat penting. Singapura hampir sama dengan Kuala Lumpur tetapi tingkah laku pengguna berbeza sekali.

"Malah di Asia, kita begitu pelbagai. Dapatkan banyak maklumat sebelum ke sesuatu tempat," katanya.

Hooi menerajui Ken-Rich, pengeluar produk penjagaan diri dan produk pencuci rumah yang boleh didapati di lebih 16 negara.

Source: Utusan Melayu
Date: 9 June 2013
Afternoon Highlight (13/06/13/101/799)

No comments: