Tuesday, June 5, 2012

afternoon highlight (17/04/12/070/544) Pesan barangan melalui kaedah maya


Pesan barangan melalui kaedah maya

BUKIT MERTAJAM 15 April - Burj Asia Corporation (M) Sdn. Bhd. akan memasang aplikasi membeli-belah visual secara maya di 3,000 stesen di beberapa bandar besar di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, stesen maya pertama yang dibangunkan di negara ini akan mempamerkan pelbagai produk bagi kemudahan orang ramai membeli barangan dan ia akan dipasang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Pahang dan Sabah.
Katanya, buat permulaan, sebanyak 600 stesen maya sedang dipasang di beberapa kawasan seperti di stesen transit aliran ringan (LRT), monorel, terminal bas dan kondomonium di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka akan beroperasi minggu depan.
"Kita membelanjakan RM500,000 untuk pembangunan aplikasi stesen maya Snap2Get berkenaan yang membantu peruncit dan pembeli menjalankan transaksi dengan menggunakan kod QR (barkod) dan telefon pintar.
"Snap2get merupakan gabungan integrasi pengilangan, peruncitan, pembekal, pembayaran dan pengguna untuk membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan mudah alih dalam talian dengan mudah dan cepat," katanya ketika ditemui di Seberang Jaya, di sini semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan Snap2Get di Putrajaya baru-baru ini.
Mohd. Zaidi berkata, melalui stesen maya itu orang ramai tidak perlu ke pasar raya sebaliknya mereka boleh memesan barangan yang dipamerkan di stesen maya itu dengan menggunakan telefon pintar untuk mengambil gambar barangan yang dipesan dan menghantar pesanan itu dengan menggunakan perisian internet serta membayar barangan yang dipesan dengan kad kredit.
Beliau berkata, sistem tersebut lebih menjimatkan masa di samping memudahkan pengguna yang sibuk, selain mengatasi masalah kesesakan di jalan raya dan kesulitan mendapatkan tempat parkir kereta.
Menurutnya, barangan yang dipesan mempunyai kod QR akan dihantar terus oleh pembekal yang dilantik kepada pembeli dalam tempoh 24 jam.
Selain itu, kata Mohd. Zaidi, pihaknya akan memasang stesen maya tersebut di kawasan luar bandar yang mempunyai kemudahan internet sehingga tahun 2020.
Katanya, stesen maya seperti itu sudah digunakan di beberapa negara maju seperti Korea, Jepun, Amerika syarikat dan Singapura.
Sehubungan itu, beliau yakin pembelian maya ini mampu menjana perolehan syarikat RM5 juta hingga hujung tahun ini.
Source : Utusan Malaysia
Date : 16 April 2012
afternoon highlight (17/04/12/070/544)

No comments: