Tuesday, June 5, 2012

afternoon highlight (06/04/12/064/539) HDC tubuh Bank IP industri halal pertama


HDC tubuh Bank IP industri halal pertama
37 hak harta intelek berkaitan produk sudah diberi, empat berjaya dikomersialkan

HALAL Development Corporation (HDC) telah mewujudkan Bank Harta Intelek (IP) yang pertama seumpamanya dalam industri halal global dalam usaha mengumpul semua idea inovasi dan inovatif berkaitan halal yang sedia untuk dikomersialkan. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini 37 IP berkaitan halal telah dihasilkan dan empat sudah berjaya dikomersialkan.

Beliau berkata penubuhan Bank IP itu juga menunjukkan satu kejayaan bagi Malaysia dalam mempromosikan industri halal di peringkat antarabangsa dan ia juga melengkapkan ekosistem bagi industri halal di negara ini.

"Semua idea berkaitan inovasi halal akan ditempatkan di bawah Bank IP dan ia akan diuruskan HDC," katanya pada sidang media selepas menutup Sidang Kemuncak Penyelidikan Halal Dunia 2012 (WHR 2012) di Kuala Lumpur semalam.

Mustapa berkata pihaknya berharap jumlah IP berkaitan halal yang sedia untuk dikomersialkan akan meningkat pada masa depan sejajar dengan peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibuat penyelidik tempatan.

Katanya, ketika ini banyak universiti dan pusat penyelidikan tempatan sudah menjalankan kajian dalam membangunkan produk halal.

Penubuhan Bank IP itu juga adalah sebahagian daripada pelan besar yang diilhamkan HDC untuk berkongsi inovasi yang berpotensi dengan seberapa ramai yang mungkin.

Apabila semua idea inovasi itu ditempatkan dalam Bank IP, pangkalan data mengenai produk yang sedia untuk dikomersialkan akan boleh dilihat menerusi laman web HDC, yang kini sudah menerima kira-kira 12 juta pelawat.

Sempena WHR 2012, HDC menganjurkan Pameran Inovasi WHR dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia bagi mempamerkan produk prototaip halal.

Pameran itu menjadi platform kepada organisasi penyelidikan untuk mempromosikan kajian dan memperkenalkan produk baru kepada komoniti halal global.

Produk prototaip halal yang dipamerkan itu adalah yang diusahakan komuniti R&D daripada universiti tempatan termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Malaysia (UTMM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Perlis.

Pada majlis penutup WHR 2012 itu turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara KFC Holdings (Malaysia) Bhd dan HDC bagi memperkenalkan program melatih pekerja bagi industri halal yang dikenali sebagai Program Eksekutif Halal.

WHR 2012 berjaya menarik menarik 700 peserta termasuk pegawai R&D, ahli akademik, ahli perniagaan dan penggiat industri dalam sektor makanan dan bukan makanan.

Sidang kemuncak dua hari itu mengetengahkan 12 pembentang kertas kerja tempatan dan antarabangsa dan pameran yang disertai 13 universiti dan syarikat penyelidikan.

Source : Berita Harian
Date : 6 April 2012
afternoon highlight (06/04/12/064/539)

No comments: