Thursday, February 2, 2012

afternoon highlight (31/01/12/019/494)OPR dijangka kekal tiga peratus

OPR dijangka kekal tiga peratus

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari pertama pada tahun ini yang berlangsung esok.

Rata-rata penganalisis ekonomi berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kedudukan ekonomi global yang lembap dan kedudukan kadar faedah yang akomodatif.

Ketua Ekonomi Bank Islam (M) Bhd., Azrul Azwa Tajuddin berkata, pertumbuhan ekonomi yang dijangka perlahan merupakan faktor yang diambil kira dalam pengekalan OPR.

Menurutnya, BNM tidak akan mengurangkan OPR dalam mesyuarat esok kerana situasi ekonomi sekarang adalah lembap dan bukan meleset seperti yang berlaku pada 2009.

Katanya, meskipun kadar inflasi menurun tetapi ia masih berlegar antara 2.0 hingga 3.0 peratus.

''Dasar monetari bergantung kepada tinjauan dan inflasi dan apabila melihat kepada kedua-duanya tidak ada sebab mengapa BNM akan menurunkan OPR, sebaliknya lebih wajar dikekalkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azrul berkata, sekiranya OPR diturunkan, dikhuatiri ia akan menyumbang kembali kenaikan inflasi.

Jumaat lalu, Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, polisi monetari negara masih akomodatif di tengah-tengah pertumbuhan global yang sederhana pada tahun ini.

Tambah beliau, kadar semasa akan kekal akomodatif dan BNM akan membuat penilaian sesuai yang penting untuk mengekalkan pertumbuhan dan pekerjaan.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank (AIB), Dr. Nazri Khan yang berpendapat bank pusat akan mengekalkan kadar faedah semasa disebabkan pertumbuhan global yang perlahan.

Selain itu, ia juga mengambil kira keputusan beberapa negara serantau yang masih mengekalkan OPR yang sama.

''Kami menjangka OPR 3.0 peratus dikekalkan tetapi OPR mungkin akan diturunkan sebanyak 50 mata asas lagi menjelang akhir tahun ini,'' ujar Nazri.

Sebelum ini, ECM Libra Investment Research turut meramalkan dasar monetari akan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sehingga kadar inflasi menurun.

Syarikat penyelidikan itu berkata, dasar monetari negara masih lagi menyokong pertumbuhan dengan bekalan wang November berkembang 12.8 peratus, tahun ke tahun, sementara OPR telah mewujudkan persekitaran kadar faedah sebenar yang rendah.

"OPR pada 3.0 peratus sendiri telah menjuruskan kepada kadar inflasi semasa 3.3 peratus, membayangkan kadar faedah sebenar yang negatif.

"Ini menjadikan OPR lebih akomodatif kepada pertumbuhan ekonomi kerana ia menjadikan perbelanjaan alternatif yang lebih menarik berbanding simpanan,'' katanya.

Source : Utusan Malaysia
Date : 31 January 2012

No comments: